|
BIT
COUNCIL

|
Siaran Akhbar
PEMINDAHAN PENGAWALSELIAAN PERKARA-PERKARA
PENYIARAN DIBAWAH AKTA PENYIARAN (PENGGAL 180) DARI JABATAN PERDANA
MENTERI KEPADA KEMENTERIAN PERHUBUNGAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM Hari Rabu, 15 Jamadilawal 1429 bersamaan 21 Mei 2008
Pada
menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji
Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan ini Jabatan Perdana Menteri
sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah
mengurniakan titah perkenan bagi perlantikan baru Yang Berhormat Pehin
Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong,
Menteri Perhubungan sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi
perkara-perkara penyiaran dan Yang Mulia Haji Awang Alaihuddin bin Pehin
Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha,
Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan sebagai Pengarah Penyiaran
dibawah Akta Penyiaran (Penggal 180) seperti dikeluarkan melalui Bahagian
IV Warta Kerajaan bilangan 9/2008 bertarikh 10 Mei 2008. Perlantikan ini
menandakan pemindahan rasmi bagi kerja-kerja kawalselia dan pemantauan
bagi perkara-perkara penyiaran dari Jabatan Perdana Menteri kepada
Kementerian Perhubungan, Negara Brunei Darussalam dan akan berkuatkuasa
pada hari ini, iaitu Rabu, 15 Jamadilawal 1429 bersamaan 21 Mei 2008.
Sempena pemindahan pengawalseliaan di bawah Akta Penyiaran (Penggal 180) ini, satu
majlis penyerahan dan penerimaan Akta tersebut berlangsung pagi tadi di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian
Perhubungan, Jalan Menteri Besar, Bandar
Seri Begawan. Mewakili bagi pihak Jabatan Perdana Menteri ialah Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin
Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Tenaga di Jabatan Perdana
Menteri, sementara itu bagi pihak Kementerian
Perhubungan ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri
Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Perhubungan. Turut
hadir ialah Yang Mulia Pengiran Dato Paduka
Haji Ismail bin Pengiran Haji Mohamed, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana
Menteri dan Yang Mulia Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong
Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha, Setiausaha Tetap
Kementerian Perhubungan.
Dengan pemindahan Akta Penyiaran (Penggal 180) hari ini, maka kuasa
pengawalseliaan berpindah daripada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri
Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji
Bakar, Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (Menteri yang
bertanggungjawab bagi perkara-perkara penyiaran) kepada Yang Berhormat
Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji
Apong, Menteri Perhubungan iaitu selaku Menteri baru yang bertanggungjawab
bagi perkara-perkara penyiaran. Manakala kuasa yang diberikan kepada Yang
Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Ismail bin Pengiran Haji Mohamed,
Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri sebagai Pengarah Penyiaran
kini diserahkan kepada Yang Mulia Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang
Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha Setiausaha
Tetap, Kementerian Perhubungan.
Pemindahan Akta Penyiaran (Penggal 180) ini juga bermakna segala kerja-kerja kawalseliaan
bagi ehwal penyiaran seperti pemberian lesen-lesen penyiaran dan pungutan
hasil perlesenan serta kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan akan
dilaksanakan oleh Kementerian Perhubungan. Dalam
hal yang berhubungan, agensi-agensi Media Kerajaan iaitu Radio Televisyen
Brunei (RTB) dan Jabatan Penerangan adalah dikekalkan dibawah kawalan
Jabatan Perdana Menteri.
Jabatan Perdana Menteri
Istana Nurul Iman
Bandar Seri Begawan
Negara Brunei Darussalam
15 Jamadilawal 1429 / 21 Mei 2008
|