Majlis Pelancaran Rasmi Pengkoporatan
Jabatan Telekom Brunei (JTB) Menjadi Telekom Brunei Berhad (TelBru)
UCAPAN PERASMIAN
Hari Sabtu, 01 April 2006
Pusat Persidangan Antarabangsa
Berakas
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
BISMILLAHIR RAHMAN NIR RAHIM
Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan
selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Majlis Pelancaran Rasmi
Pengkorporatan Jabatan Telekom Brunei;
Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Othman bin Haji
Yakub, Pengerusi Lembaga Pengarah Telekom Brunei Berhad (TelBru);
Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri;
Yang Mulia Pengiran-Pengiran;
Yang Di Muliakan Pehin-Pehin;
Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap,
Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap;
Yang Mulia Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Telekom Brunei
Berhad (TelBru);
Ahli-ahli Pihak Berkuasa Industri Infokomunikasi Negara
Brunei Darussalam (AiTi);
Yang Mulia Ketua-Ketua Jabatan;
Para Jemputan, hadirin dan dhif-dhif yang dihormati
sekalian.
Alhamdullilah, syukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala
kerana dengan izin Nya jua Jabatan Telekom Brunei (JTB) akan dikorporatkan
menjadi Telekom Brunei Berhad (TelBru) mulai hari ini, 1hb April 2006.
Kita juga sukacita menyembahkan setinggi-tinggi
menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussaalam di atas
kurnia titah perkenan Baginda bagi pengkorporatan Jabatan Telekom Brunei.
Majlis ini adalah merupakan satu detik yang penting dan
signifikan dalam sejarah industri telekomunikasi di Negara ini yang juga
merupakan kejayaan Kerajaan dalam usaha Kerajaan mengkorporatkan
agensi-agensi Kerajaan yang bersesuaian. Ini adalah juga menandakan titik
permulaan yang bermakna bagi pengguna-pengguna perkhidmatan telekomunikasi
di Negara ini.
Langkah mengkorporatkan Jabatan Telekom Brunei ini
adalah juga selaras dan selari dengan perkembangan industri telekom di
rantau ini dan juga di kebanyakan Negara-negara ahli Pertubuhan Telekom
Antarabangsa atau ITU.
Langkah pengkorporatan pada lazimnya dilaksanakan
adalah untuk memberikan peranan yang lebih besar kepada sektor swasta di
dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara. Dalam konteks Negara Brunei
Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan telahpun menekankan akan pentingnya peranan sektor swasta
dalam memperkembangkan ekonomi Negara. Oleh yang demikian pengkorporatan
Jabatan Telekom ini adalah juga selaras dengan hasrat Kerajaan untuk
memperkukuh dan memperkesan peranan sektor swasta.
Di dalam melaksanakan program pengkorporatan, pihak
Kerajaan telah mengenalpasti industri telekomunikasi sebagai sektor
pertama untuk dikorporatkan. Ini adalah kerana industri telekomunikasi
dapat dianggap sebagai salah satu perintis ("forerunner")
bagi pembangunan Negara, yang mana hasil daripada kemajuan sektor ini di
harap akan dapat merangsang lagi pembangunan dan kemajuan di dalam
sektor-sektor yang lain.
Jika di lihat dari segi pencapaian sektor
telekomunikasi dan ICT dalam pertumbuhan ekonomi Negara, sektor ini secara
keseluruhan telah menyumbang pencapaian ekonomi yang agak signifikan, yang
mana sais industri bagi sektor ini berjumlah melebihi Tiga Ratus Juta
(B$300 juta) dan dengan purata peningkatan tahunan sebanyak sepuluh
peratus (10%).
Pendapatan sektor telekom sahaja dalam dua tahun
kebelakangan menjangkau hampir Satu Ratus Juta (B$100 juta) setahun.
Adalah diharap melalui pengkorporatan ini, akan dapat menggalakkan lagi
pertumbuhan pesat industri telekomunikasi dan ICT serta dapat pula menarik
banyak pelabur luar untuk bergiat sama dalam meningkatkan pertumbuhan
ekonomi bagi Negara.
Di dalam tempoh Rancangan Kemajuan Negara Kelapan
(Ke-8), sektor telekomunikasi dan ICT juga telah mencatat kemajuan yang
ketara terutama di dalam pertumbuhan pelanggan. Jumlah pertumbuhan bagi
pemasangan telefon di rumah-rumah atau fixed line adalah
mengkagumkan dengan kadar pencapaian sembilan puluh sembilan peratus (99%)
sementara lebih lima puluh peratus (50%) bagi telefon bergerak. Sungguhpun
demikian, taraf penggunaan internet di Negara ini masih belum
menggalakkan lagi dan masih di tahap yang rendah.
Usaha-usaha untuk merapatkan jurang di antara asas
akses dan penggunaan internet khususnya jalur lebar atau broadband
perlu dipertingkatkan sebagai langkah bagi menjadikan telekomunikasi dan
ICT mudah diperolehi oleh semua peringkat masyarakat baik di bandar
mahupun di luar bandar termasuk di pendalaman.
Dalam pada itu, kita juga akan mengalami perubahan
struktur di mana pelonggaran peraturan dan liberalisasi sektor
telekomunikasi akan giat dilaksanakan bagi mempastikan pengurusan yang
lebih cekap, peningkatan kemudahan dan perkhidmatan bagi memenuhi
permintaan yang kian meningkat, serta membolehkan lebih ramai penduduk
menikmati perkhidmatan ini sejajar dengan perubahan teknologi yang
berkembang pesat.
Pengguna akan mendapat manfaat dari liberalisasi
industri ini yang akan membawa kepada persaingan serta kepelbagaian
perkhidmatan untuk dikecapi oleh para pengguna.
Dengan tertubuhnya TelBru, segala kerja-kerja
pengawalseliaan dan perlesenan perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi
dan ICT di Negara ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa
Industri Infokumunikasi Teknologi Negara Brunei Darussalam atau singkatnya
AiTi.
Sebagai sebuah badan kerajaan yang autonomous,
AiTi akan berperanan meneliti dasar bagi penyediaan perkhidmatan dan
kawalan harga penggunaan perkhidmatan telekomunikasi dan ICT. Kita
berharap pengkorporatan TelBru akan memberikan kebaikan kepada
pengguna-pengguna dan juga membuka peluang untuk meningkatkan kualiti
serta keupayaan inovasi melalui penyediaan produk dengan harga yang lebih
kompetitif.
Dalam kesempatan pelancaran rasmi ini, saya ingin
memaklumkan bahawa terdapat empat (4) inisiatif dasar yang boleh kita
ambil kira dalam konteks Negara Brunei Darussalam.
Pertama ialah mengenai penyusunan semula dasar industri
atau lebih dikenali dengan ‘Regulatory and Industry Restructuring’.
Ini adalah merupakan satu-satunya trend masakini yang menjadi
amalan di negara-negara maju dan membangun. Dalam hal ini, antara contoh
utama dalam penyusunan semula industri telekomunikasi dan ICT adalah
penubuhan badan-badan korporat dan peralihan daripada jabatan kerajaan
bagi mengawalselia dan memajukan sektor telekomunikasi dan ICT di negara
masing-masing.
Kedua, ialah mengenai penyediaan rangka-rangka kerja
pengawalseliaan dan undang-undang yang bersesuaian dalam pembangunan
industri telekomunikasi dan ICT yang mantap. Pada tahun 2001, Kerajaan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah membuat beberapa rangkakerja
undang-undang yang baru untuk tujuan kawalselia bagi pihak AiTi dan
pembahagian tugas-tugas baru bagi TelBru dan AiTi di Negara ini.
Rangka-rangka kerja undang-undang ini adalah:
-
Perintah Pengganti Telekomunikasi, 2001;
-
Perintah Telekomunikasi, 2001; dan
-
Perintah Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AiTi), 2001.
Dalam hal ini, sepertimana yang saya nyatakan tadi,
AiTi ditubuhkan dibawah Perintah AiTi, 2001 dan telah bermula operasi
semenjak 1hb Januari 2003. Kedua-dua Perintah yang lain akan
dikuatkuasakan pada tarikh pengkorporatan Jabatan Telekom Brunei iaitu 1
April 2006.
Dalam kesempatan ini, saya sukacita memaklumkan bahawa
bermula hari ini, AiTi akan bertanggungjawab penuh ataupun menjadi ‘full-pledged’
dalam perlesenan perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi dan ICT,
mengendalikan frekuensi spektrum Negara dan memajukan pembangunan industri
telekomunikasi dan ICT di Negara ini.
Ini bermakna mulai 1hb April 2006, di bawah rejim
perlesenan yang baru, AiTi akan mengeluarkan lesen-lesen kerja kepada
TelBru serta membuat perundingan untuk memperbaharui lesen-lesen DST Comm,
serta lesen-lesen yang lain seperti lesen yang diberikan kepada B-Mobile
Communications, penyedia-penyedia perkhidmatan Internet (ISPs)
iaitu BruNet dan Simpur, penyedia-penyedia perkhidmatan telefon awam dan
lain-lain.
Inisiatif dasar yang ketiga ialah dasar bagi
memperkenalkan satu suasana yang kondusif dan kompetitif bagi industri
telekomunikasi dan ICT dan seterusnya mengadakan persaingan yang saksama
kepada syarikat-syarikat yang berkecimpung dalam industri ini.
Antara contoh utama adalah dasar Kerajaan bagi
mengeluarkan dua lesen bagi perkhidmatan-perkhidmatan telefon bimbit 3G
pada tahun lepas. Peralihan secara progresif daripada pasaran monopoly
ke pasaran duopoly dalam perkhidmatan telefon bimbit di Negara ini
telah nyata menghasilkan permulaan persaingan yang sihat di bawah
pentadbiran pihak pengawalselia dan pemegang dasar dan secara langsung
memberikan pilihan kepada orang ramai khususnya kepada pengguna-pengguna.
Dengan adanya dua syarikat yang memberikan perkhidmatan
telefon bimbit kepada orang ramai, kita akan menjangka pertumbuhan yang
lebih tinggi dalam industri yang semakin maju ini.
Pertumbuhan dari segi jumlah pengguna bagi perkhidmatan
telefon bimbit pada masa kini berbanding dengan sejak sepuluh (10) tahun
kebelakangan, juga telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara, di
mana berdasarkan statistik pada awal tahun 2006, jumlah density pengguna
telefon bimbit adalah sebanyak enam puluh lima (65) bagi setiap seratus
(100) orang.
Satu contoh lagi, iaitu dalam penggunaan Internet.
Kita telah nampak perkembangan pesat sejak lima (5) tahun kebelakangan
dalam mana jangkaan penggunaan Internet telah meningkat tiga kali
ganda sejak tahun 2000 iaitu sebanyak density pengguna seramai enam
(6) bagi setiap seratus (100) orang kepada lebih tiga puluh (30) bagi
setiap seratus (100) orang pada penghujung tahun 2004.
Walau bagaimanapun, jumlah tersebut masih boleh
dipertingkatkan lagi. Malah penyediaan perkhidmatan ‘Internet dial-up’
berkuasa narrow-band kepada orang ramai dan masyarakat bukan
menjadi tumpuan sebenar. Sebaliknya dasar utama adalah bagi meningkatkan
usaha dalam penggunaan internet jalurlebar atau ‘Internet
Broadband’ yang berkuasa tinggi untuk orang ramai khususnya di
rumah-rumah persendirian.
Bilangan terkini bagi pelanggan jalurlebar secara
persendirian adalah dikira masih di tahap yang rendah iaitu kurang
daripada sepuluh (10) bagi setiap seratus (100) buah rumah persendirian.
Dalam hal ini, adalah menjadi hasrat Kementerian untuk mencapai satu
matlamat dasar iaitu sekurang-kurangnya empat puluh (40) bagi setiap
seratus (100) buah rumah dijangka akan mempunyai perkhidmatan jalurlebar
atau broadband pada tahun 2010.
Di sinilah pentingnya akses dan kemampuan bagi
melanggan perkhidmatan-perkhidmatan jalurlebar yang mana akan menjadi
agenda utama kita.
Inisiatif dasar yang keempat ialah mengenai peranan
kerjasama dan hubungan erat di antara Kerajaan melalui Kementerian
Perhubungan dan AiTi dengan pihak swasta dalam sama-sama mempertingkatkan
mutu infrastruktur yang bertaraf tinggi, sebanding dengan infrastruktur di
negara-negara maju.
Dalam hal ini, Kementerian Perhubungan berperanan utama
dalam memberikan arah dasar yang strategik dan secara menyeluruh, manakala
AiTi berperanan besar selaku agensi pelaksana bagi dasar-dasar yang di
keluarkan.
Peranan pihak swasta atau industri dalam membangun
infrastruktur telekomunikasi dan ICT yang canggih dan terkini antara lain
seperti pembangunan ‘Next Generation Networks’ atau NGN
adalah sangat penting dan akan menjadi tunggak utama dalam perkembangan
industri telekomunikasi dan ICT di Negara ini.
Dengan suasana persaingan global dan cabaran yang
semakin hebat, warga TelBru hendaklah terus berusaha untuk memastikan
pemberian perkhidmatan yang cemerlang dan memberikan mutu perkhidmatan
yang cekap dan baik kepada semua pihak.
Saya percaya sebagai sebuah penyedia perkhidmatan
komersial, TelBru akan sentiasa responsif dan pro-aktif dalam memainkan
peranannya untuk meningkatkan taraf sosial bagi semua lapisan masyarakat
di Negara ini.
Di samping itu, penglibatan TelBru di dalam sama-sama
meningkatkan ekonomi Negara bukanlah hanya setakat di dalam penyediaan
perkhidmatan di pasaran tempatan sahaja, malah perlu diperkembang-luaskan
dengan menerokai peluang-peluang perniagaan di peringkat serantau dan
global, selaras dengan matlamat Kerajaan untuk menjadikan Negara Brunei
Darussalam sebagai ‘service hub’ di masa akan datang.
Saya berkeyakinan bahawa TelBru mempunyai kemampuan
untuk meneroka peluang-peluang dalam bidang infokomunikasi di rantau ini
yang perkembangannya pada masa ini dan akan datang dijangka menggalakkan.
Penubuhan TelBru dengan logo yang baharu diharapkan
akan membawa imej korporat baharu. Kepada Pengarah Urusan dan semua warga
TelBru, biskita akan menghadapi cabaran dalam imej baharu ini. Oleh itu
saya berharap penghijrahan menjadi warga korporat akan membawa bersamanya
perubahan sikap.
Kejayaan TelBru beroperasi sebagai sebuah badan
korporat akan dinilai dan diukur oleh Kerajaan dan orang ramai. TelBru
akan menjadi contoh dan modal bagi pelaksanaan rancangan pengkorporatan di
masa akan datang. Oleh itu berusahalah untuk menjadi sebuah badan korporat
yang berjaya dan dihormati.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi
penghargaan kepada semua yang terlibat dalam melaksanakan rancangan
pengkorporatan Jabatan Telekom Brunei ini suatu kenyataan.
Demikian juga terima kasih kepada Jawatankuasa
Penganjur Majlis kerana mengungkayahkan majlis ini. Saya ucapkan Syabas
dan Selamat Berjaya kepada TelBru dengan iringan doa agar TelBru akan
dapat melaksanakan tugas-tugasnya dengan cemerlang dan berjaya dalam semua
bidang operasinya.
Saya juga ucapkan selamat menjalankan tugas-tugas
selaku badan kawalselia dan pemaju industri telekomunikasi dan ICT kepada
AiTi.
Pada mengakhiri ucapan ini, kepada seluruh warga
TelBru, terimalah:
Sayang gamat menikam gamat
Bunga malur bunga melati
Mudah-mudahan hidup selamat
Di dalam telur boleh dinanti.
Sayang mengail dekat perapat
Mari belurih ikan languran
Tekaduhung sudah menjadi korporat
Malu rasanya paling haluan
Tidaklah boleh diangan-angan
Timbanglah batu sama timbangan
Jikalau sudah bunga ditangan
Biarlah layu dilepas jangan
Anak rusa di Pulau Rasau
Sayang selasih di Tanjung Bangkita
Jangan susah jangan risau
Kami tidak lupakan biskita
Dengan mendahulukan kalimat Bismillahir Rahmanir Rahim
dan dengan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wata'ala, serta selawat dan
salam ke atas Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam, saya dengan
sukacitanya, melancarkan Majlis Pengkorporatan Jabatan Telekom Brunei
menjadi Telekom Brunei Berhad (TelBru).
Sekian.
Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
|