SEMBAH ALU-ALUAN
Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
03 Syaaban 1426 bersamaan 7 September 2005
Assalamualaikum Warahmatullhi Wabarakatuh.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdullilahi Rabbil ‘Alamin, Wassalatu Wassalamu
‘Ala Sayiddina Muhammadin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajmaien.
Mengadap Kehadapan Majlis,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji
Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Ampun Beribu-Ribu Ampun,
Dengan penuh hormat dan takzim, hamba Kebawah Duli Tuan
Patik mewakili Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pelancaran Persidangan
Kebangsaan Mengenai Masyarakat Bermaklumat sukacita menyembahkan
setinggi-tinggi menjunjung kasih, di atas keberangkatan Kebawah Duli Tuan
Patik ke Majlis Pelancaran Persidangan Kebangsaan Mengenai Masyarakat
Bermaklumat dan seterusnya berkenan untuk mengurniakan Titah Perasmian dan
menyaksikan pameran Expo e-Aplikasi.
Sesungguhnya keberangkatan Kebawah Duli Tuan Patik ke
Majlis ini sangat bermakna dan bernilai tinggi yang
jelas mencerminkan akan keperihatinan Kebawah Duli Tuan Patik akan hasrat
untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat di negara ini.
Ampun
Beribu-Ribu Ampun,
Disembahkan bahawa Persidangan Kebangsaan Mengenai
Masyarakat Bermaklumat yakni NASIS adalah susulan kepada Sidang Kemuncak
‘World Summit on Information Society’ yakni WSIS yang telah
diadakan di Geneva pada bulan Disember 2003. Sidang kemuncak berkenaan
telah mengisytiharkan komitmen bersama untuk membangun masyarakat
bermaklumat bersandarkan kepada keperluan manusia atau people-centered,
melibatkan semua golongan masyarakat dan berorientasikan pembangunan.
Persidangan WSIS telah menghasilkan dua dokumen penting
iaitu Pengisytiharan Prinsip-Prinsip dan Plan Tindakan yang mengandungi
garis pandu dan tindakan yang harus dilaksanakan oleh setiap negara
peserta. Ini termasuklah pembentukan e-Strategi kebangsaan bagi mewujudkan
Masyarakat Bermaklumat.
Yang demikian Persidangan NASIS ini adalah sebagai
mendokong Pengisytiharan Sidang Kemuncak Sedunia WSIS itu.
Bagi Negara Brunei Darussalam, NASIS merupakan usaha
untuk meneruskan dan menyelaras semua inisiatif yang sudah, sedang dan
akan dilaksanakan dalam mengembangluaskan penyerapan teknologi
infokomunikasi di negara ini.
Alhamdulillah dengan komitmen Kerajaan Kebawah Duli
Tuan Patik, dengan penyediaan peruntukan hampir satu billion dalam
Rancangan Kemajuan Negara Kelapan, projek e-Kerajaan sedang giat dalam
pelaksanaan. Projek ini dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan
industri ICT di Negara ini yang juga diharapkan akan dapat memberi peluang
pekerjaan dan sekali gus memperkembangkan kapasiti tenaga berkemahiran
tempatan bagi membantu menjana kemajuan ekonomi Negara.
Adalah juga diharapkan NASIS akan dapat mengimbangi
perkembanagan ICT dalam sektor lain seperti e-Bisnes dan e-Society,
dalam melengkapkan hasrat mewujudkan Masyarakat yang berpengetahuan di
negara ini.
Ampun Beribu-Ribu Ampun,
Disembahkan bahawa dalam jangka waktu yang singkat,
Negara Brunei Darussalam telah dapat mencapai tahap kemajuan ICT yang
boleh dibanggakan. Dengan kemudahan-kemudahan teknologi Infokomunikasi
yang moden, kadar ‘internet user penetration’ mencapai 30% pada
akhir tahun 2004, berbanding dengan 6% pada tahun 2000. Kadar ini
merupakan peningkatan yang melebihi sasaran, iaitu tiga (3) kali ganda
bagi tempoh 5 tahun bermula tahun 2000, seperti yang telah disarankan oleh
Ketua-Ketua Ekonomi APEC.
Dari segi ‘digital access’, Negara Brunei
Darussalam berada di tempat ke 12 dari kesemua ekonomi APEC dan ketiga
dalam ASEAN. Dari segi internet access ke sekolah-sekolah, Negara ini
sudah mencapai tahap sebanding dengan Singapura dan German iaitu 92%.
Walau bagaimanapun, jumlah ini masih boleh
dipertingkatkan terutama kadar tembusan internet melalui ‘broadband’,
yangmana masih di paras 7%. Sehubungan ini, peningkatan penyediaan akses
atau ‘connectivity’ yang lebih luas adalah merupakan keutamaan
Kerajaan Kebawah Duli Tuan Patik bagi mempercepatkan proses Masyarakat
Bermaklumat.
Begitu juga dengan bertambahnya aplikasi dan kandungan
dalam projek-projek yang sedang dilaksanakan, diharapkan meningkatnya
anggota masyarakat yang akan dapat memanfaatkan penggunaan infokomunikasi
dalam aktiviti kehidupan seharian dan pekerjaan.
Disembahkan bahawa salah satu daripada matalamat
persidangan ini ialah penyediaan e-Strategi di peringkat kebangsaan yang
mengandungi sukat-sukat dan sasaran realistik ke arah mewujudkan
Masyarakat Bermaklumat yang mengutamakan pengetahuan atau e-Knowledge. Di
persidangan NASIS ini, peserta akan berpeluang untuk berbincang dan
bertukar-tukar pandangan tentang usaha-usaha kearah pembentukan e-Strategi.
Penglibatan semua pihak terutama dalam merangka e-Strategi
kebangsaan adalah sangat penting bagi menghasilkan satu e-Strategi yang
komprehensif dengan pelaksanaan program-program dan projek-projek yang
bersepadu.
Ampun Beribu-Ribu Ampun,
Disembahkan, bahawa sebanyak 41 orang penceramah
jemputan, termasuk 6 orang penceramah dari luar negara telah dijemput
untuk menyampaikan topik-topik dan membincangkan isu-isu dan
perkara-perkara yang berhubungkait dengan masyarakat bermaklumat dari
perspektif masing-masing.
Satu ekspo e-Aplikasi juga diadakan dan dibukakan bagi
kunjungan orang ramai selama 4 hari mulai hari ini. Ekspo ini akan
mempamerkan perkhidmatan-perkhidmatan e-Aplikasi yang sudah dan akan
disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Tuan Patik dan pihak sektor swasta.
Ampun Beribu-Ribu Ampun,
Sebelum hamba Kebawah Duli Tuan Patik mengakhiri sembah
alu-aluan ini, hamba Kebawah Duli Tuan Patik sukacita menjunjung kornia
perkenan Kebawah Duli Tuan Patik bagi menyembahkan berbanyak menjunjung
kasih di atas keberangkatan sama Paduka-Paduka Anakanda:
-
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda
Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di
Jabatan Perdana Menteri;
-
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda
Haji 'Abdul 'Azim;
-
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda
Haji 'Abdul Malik; dan
Hamba Kebawah Duli Tuan Patik juga merakamkan setinggi
penghargaan dan terima kasih di atas keberangkatan
Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria;
kehadiran Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet;
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat;
Timbalan-Timbalan Menteri;
Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi ke Negara Brunei
Darussalam;
Setiausaha-Setiausaha Tetap;
Jemputan-Jemputan Khas dan anggota-anggota perkhidmatan
awam dan sektor swasta yang hadir di Majlis pagi ini.
Penghargaan dan ucapan terima kasih hamba Kebawah Duli
Tuan Patik juga ditujukan khusus kepada para penaja, penceramah-penceramah
undangan, para peserta seminar dan peserta ekspo di atas sokongan mereka.
Demikian juga kepada semua ahli Jawatankuasa Kerja dan
individu di atas kerja keras, komitmen dan sumbangan ikhlas mereka bagi
menjayakan Persidangan ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan
menerimanya sebagai amal kebajikan jua. Amin.
Sekian.
Wabillahit Taufiq Walhidayah Wasalamu’alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
Hamba Kebawah Duli Tuan Patik menjunjung anugeraha.