The Government of Brunei Darussalam
            

Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia

Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan
11 Oktober 2005

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahirahmanir Rahim

 

Yang Mulia,
Awang Haji Abd Kadir bin Tengah,
Pemangku Ketua Pos Agung,
Selaku Pengerusi Majlis.

Yang Berhormat
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara

Yang Mulia,
Dato Paduka Awang Haji Yusof bin Haji Abdul Hamid,
Timbalan Menteri Perhubungan.

Yang Mulia
Dato Paduka Awang Haji Md Yusof bin Md Hassan,
Setiausaha Tetap,
Kementerian Perhubungan.

Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua  Kampong, Pengetua-Pengetua dan Guru-guru Besar, Jemputan-Jemputan, Para Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

 

Alhamdullillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan inayahNya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini di Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia.

Terlebih dulu, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan  kepada Pemangku Ketua Pos Agung selaku Pengerusi Majlis ini di atas daya usaha mengadakan  Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia sempena penubuhan Kesatuan Pos Sedunia [The Universal Postal Union] kali ke 131 pada pagi ini.

Sambutan ini sudah jelas menandakan tempoh usia pertubuhan ini dan dalam masa yang sama juga membuktikan bahawa perkhidmatan pos ini masih dapat wujud dan diperlukan.

Kerana itu, tema  sambutan tahun ini iaitu “Reaching Everyone, Everywhere“, adalah amat bertepatan dan sesuai sekali.  Sungguhpun dunia sekarang ini sudah seolah-olah menjadi sebuah kampong yang dihubungkan dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, tidak dapat dinafikan bahawa komunikasi menerusi perkhidmatan pos masih lagi mempunyai peranannya bagi tujuan-tujuan tertentu. Perkhidmatan pos masih menjadi salah satu cara untuk berkomunikasi secara berkesan. Belum semua tempat dapat ditembusi oleh rangkaian teknologi maklumat. 

Tidak dapat dinafikan perkembangan dan kemajuan ICT pada masa ini memberikan cabaran yang besar kepada perkhidmatan pos.

Kita memahami bahawa cabaran ini juga dihadapi oleh semua perkhidmatan pos di seluruh dunia. Tetapi keadaan ini bukan pula menjadi alasan untuk kita menerima fakta ini dengan sebegitu sahaja.

Cabaran utama ialah bagaimana perkidmatan pos akan terus dapat hidup dan bertahan dalam suasana yang penuh cabaran dan persaingan pada masa ini?

Dengan semakin berkurangnya pelanggan yang menggunakan perkhidmatan konvensional iaitu penghantaran surat, bungkusan dan surat berdaftar, bagaimanakah kita dapat menjamin supaya bilangan pelanggan tidak akan surut, bilangan perkhidmatan akan dapat meningkat  dan jenis produk pula juga akan bertambah? 

Kita mengetahui bahawa beberapa buah Negara telah dapat mengubah masaalah atau cabaran ini menjadi suatu peluang dan berjaya mendatangkan keuntungan kepada perkhidmatan pos. Dalam konteks ini saya percaya bahawa dengan daya kreatif dan komitmen semua yang bertanggung jawab di Jabatan Perkhidmatan Pos serta kerjasama dan sokongan dari sektor-sektor lain, kita juga dapat berupaya untuk meneroka peluang-peluang yang boleh menambah dan meningkatkan pendapatan kepada perkhidmatan pos.

Dalam hubungan ini saya mengambil maklum bahawa Jabatan Perkhidmatan Pos telahpun sejak beberapa tahun lalu mengorak langkah menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan baharu seperti pusat pembayaran dan juga mengenalkan produk baru. Demikian juga  dalam merangka Peta Jalan masa depannya bagi 20 tahun akan datang, Jabatan ini telah mengambil perhatian serious akan cabaran-cabaran ini dan berusaha untuk meningkat dan merancang bagi mempelbagaikan lagi perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkannya supaya peranan dan fungsi Jabatan ini akan terus  menjadi relevan dalam mengharungi arus perubahan ini.

Jabatan ini telah meletakkan visinya untuk menjadi pusat bisnes, perkhidmatan dan maklumat. 

Adalah mustahak supaya semua yang berkenaan khususnya di Jabatan Perkhidmatan Pos komited bagi merealisasikan visi ini. Visi ini memerlukan perubahan minda dan sikap dari semua yang berkaitan dan sebahagian besar kejayaannya bergantung kepada sumber tenaga manusia yang mempunyai kualiti-kualiti yang diperlukan oleh perkhidmatan yang berorientasikan perniagaan.  Ia memerlukan perubahan sikap, cara berfikir, cara bekerja dan pembawaan yang berlainan.

Sektor pos di negara ini perlu memainkan peranan penting ke arah menjadi rakan dan menjadi pilihan utama orang ramai. Perkhidmatan Pos mestilah mampu menjadi tonggak kepada perhubungan yang lebih berkesan dengan kerjasama sektor-sektor perkhidmatan awam yang lain, sektor swasta dan organisasi antarabangsa.

Perkhidmatan Pos adalah merupakan perkhidmatan yang boleh didapati di mana-mana dan mempunyai perhubungan yang rapat dengan orang ramai. Ia memberikan perkhidmatan yang tanpa deskriminasi dan ini adalah asset yang penting dalam  mengintegrasikan masyarakat sejagat di mana jua pun.  

Untuk menjadikan sektor perkhidmatan awam sebuah sektor yang efisen dan pemedulian kepada kehendak orang ramai khasnya, perkhidmatan pos di Negara ini diharap akan sentiasa berusaha mengendalikan perkhidmatan yang bermutu, selamat, terjamin dan efisien. Demikian juga Jabatan Perkhidmatan Pos juga perlu terus mempertingkatkan kapasiti dan keupayaannya dengan membentuk pembaharuan-pembaharuan yang dirancang dengan rapi dan strategi-strategi bersesuaian bagi peningkatan kualiti perkhidmatan seperti yang dihasratkan oleh orang ramai.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada Jabatan Perkhidmatan Pos di atas kejayaannya selaku penyelenggara majlis pada pagi ini. Tahniah juga diucapkan kepada pemenang-pemenang peraduan melukis setem yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos dan juga kepada pemenang-pemenang Kerani Pos Terbaik bagi tahun ini.

Dengan kalimah BISMILLAHI RAHMANIR RAHIM, Tawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala, serta selawat ke atas Nabi Besar kita Nabi Muhammad SAW, saya rasmikan Sambutan Hari Pos Sedunia kali ke-131 pada tahun 2005 dan seterusnya melancarkan Perkhidmatan-Perkhidmatan Pos Elektronik [e-Post Services].

 Sekian,

 Wabillahi Taufik Wal Hidayah,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 


|| Sejarah, Visi & Misi | Tanggungjawab & Fungsi | Carta Organisasi | Jabatan-Jabatan | SHuTT | Masyarakat Bermaklumat | Maklum Balas | Kontak ||
|| BIT Council | AiTi | BICTA ||

|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||