The Government of Brunei Darussalam
            

Majlis Pelancaran Rasmi Pameran Anugerah Teknologi Infokomunikasi Brunei (BICTA) 2006

UCAPAN PERASMIAN 

Hari Selasa, 12 September 2006
Songket Ballroom, Rizqun International Hotel

 

BISMILLAHIR RAHMAN NIR RAHIM
Assalamualaikum Warah Matullahi Wabarakatuh


Yang Mulia
Awang Haji Ibrahim Ali
Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan,
selaku Pengerusi Majlis
 
Yang Mulia
Dato Paduka Awang Haji Md Yusoff bin Haji Abd Hamid,
Timbalan Menteri Perhubungan.

Yang Dimuliakan dan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara

Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap

Yang Mulia Ahli-ahli Majlis Teknologi Maklumat (BIT Council)

Pengiran-Pengiran/Pehin-Pehin/Dato-Dato/Awang-Awang/Dayang-Dayang yang dihormati sekalian.


Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya jua kita dapat berkumpul bersama-sama di Majlis yang berkebajikan ini.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Penyelaras Anugerah Teknologi Info-komunikasi Brunei (BICTA) atas inisiatif mereka menganjurkan Majlis Pelancaran Pameran BICTA 2006 pada pagi ini.

Sebagaimana dimaklumi bahawa BICTA diwujudkan sebagai salah satu usaha berterusan untuk menyumbang kepada matlamat meningkatkan lagi perkembangan industri ICT di Negara Brunei Darussalam. Salah satu dari objektif utamanya ialah untuk menjadi landasan bagi menjana inovasi, kreativiti dan kecemerlangan dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan dalam sektor ICT. Di samping itu, anugerah BICTA juga dihasratkan sebagai wadah bagi menilai dan membuat sukat-sukat atau benchmark kepada produk dan solution tempatan yang dihasilkan. Tidak kurang pentingnya, anugerah ini merupakan penghargaan terhadap pencapaian terbaik individu, pengusaha-pengusaha ICT kecil dan sederhana (PKS) dan organisasi-organisasi berkaitan yang secara aktif beroperasi di negara ini.

Dalam tempoh satu dekad nampaknya perkembangan sektor ICT adalah sangat menggalakkan samada dari segi tahap literasi ICT mahupun penggunaan ICT dalam sektor kerajaan, swasta dan pihak persendirian. Kita bersyukur kerana mampu menanai perkembangan dan kemajuan ICT ini.

Sebenarnya kita tidaklah kekurangan bakat-bakat yang berkebolehan serta berpotensi dalam menghasilkan ciptaan-ciptaan yang berupa produk-produk ICT. Contohnya Pertandingan INFORAMA telah mula diadakan sejak tahun 1996 dan pertandingan software bagi maktab-maktab dan institusi-institusi pengajian tinggi telah dimulakan sejak tahun 2000. Sementara itu pertandingan BICTA pula telah mula diwujudkan sejak tahun 2003. Pertandingan-pertandingan ini telah banyak menghasilkan produk-produk ICT ciptaan tempatan yang berpotensi dan boleh dikomersilkan.

INFORAMA dan BICTA telah menjadi wadah dalam melahirkan bakat-bakat pencipta dalam ICT sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini membuktikan bahawa individu-individu dan pengusaha-pengusaha ICT di negara ini telah dapat mengetengahkan hasil kreativiti dan inovasi mereka. Walaubagaimanapun hasil-hasil ciptaan dan daya kreatif dan inovasi tersebut perlu difikirkan kesinambungannya supaya dapat dimanfaatkan sebagai business enabler.

Tahun ini adalah tahun ketiga kita melaksanakan BICTA. Oleh itu adalah wajar untuk kita menilai sejauhmana BICTA telah dapat menjana kemajuan dan mendurung daya kreatif dan inovatif ICT. Berapakah jumlah hasil ciptaan yang telah diangkat oleh pengusaha-pengusaha ICT untuk menjadi business enabler? Apakah masaalah yang menjadikan kemajuan dalam bidang ini tidak mencapai tahap yang diharapkan? Kita perlu menilai dan mengenal pasti akan masaalah-masaalah ini. Jika tidak, daya kreatif dan inovatif yang dilahirkan dipertandingan ini akan berakhir di penghujung jalan pameran ini. Dengan demikian, Brunei akan selamanya berada di tahap ini di mana kita akan selamanaya menjadi CONSUMER. Dengan kebolehan dan kemampuan kita yang jelas disaksikan dipameran BICTA ini, kita mesti mengubah paradigma ini untuk melahirkan masyarakat PENCIPTA dan INOVATIF yang mampu memasarkan ciptaannya. Kita perlu memberi durungan, galakan dan bimbingan bagi mengangkat hasil ciptaan seumpama ini menjadi intellectual property (IP) yang boleh dikomersilkan.

Perkara ini bukan suatu yang mustahil tidak juga merupakan impian semata-mata. Kita telah menyaksikan kejayaan di beberapa buah negara yang mampu membuat transformasi dalam aktiviti ekonomi mereka dengan menjadikan ICT sebagai industri yang boleh membantu pertumbuhan ekonomi mereka.

Dalam bulan Mei yang lepas saya dan beberapa orang pegawai kanan dari beberapa buah kementerian, dalam lawatan mengenai pelaksanaan e-kerajaan di Kanada, berkesempatan melawat Canada Technology Triangle di Waterloo, pusat perkembangan ICT. Bandar Kitchener-Waterloo yang dikenali sebagai pusat membuat kasut seperti Hush Puppies, kilang getah dan besi waja sekarang bertukar wajah menjadi kota ICT melahirkan lebih 250 buah syarikat ICT yang membantu menjana dan menyumbang pendapatan (revenue) yang besar kepada Kanada. Kejayaannya adalah hasil kerjasama erat pengusaha sektor swasta, kerajaan dan University of Waterloo, di mana terdapat Innovator Center.

Dalam hubungan ini, saya sukacita menyeru supaya usaha berterusan diungkayahkan dengan segera iaitu untuk memastikan bahawa produk-produk yang dihasilkan mempunyai nilai komersil yang tinggi agar ianya dapat digunapakai dan mempunyai daya saing dan boleh dipasarkan bukan hanya di negara ini tetapi juga di luar negara.

Perkara ini setentunya memerlukan sokongan dan komitmen yang berterusan. Sehubungan ini, pihak-pihak yang tertentu perlulah menyediakan bantuan, bimbingan (mentorship) serta galakan-galakan yang bersesuaian. Kita semua mengalu-alukan penubuhan SME Innovation Center dan Pusat Penyelidikan dan Perkembangan ICT, misalnya yang merupakan inisiatif yang relevan dalam konteks ini.

Saya berharap usaha-usaha seperti ini akan dapat mendokong dan mempercepatkan hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kearah menjana perkembangan industri ICT di Negara ini dan kita akan dapat menonjolkan jenama buatan Brunei di peringkat serantau mahupun antarabangsa.
Perkembangan penggunaan ICT nampaknya lebih ketara di sektor kerajaan di mana pelaksanaan beberapa projek e-Kerajaan telah dapat dilaksanakan di beberapa buah kementerian dan jabatan. Sebagai usaha ke arah mengemaskinikan dan memperkesankan lagi perlaksanaan Program e-Kerajaan oleh kementerian-kementerian, Majlis Teknologi Maklumat (BIT Council) telah bersetuju dan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya satu Penilaian Semula terhadap Program e-Kerajaan (e-Government Review) dilaksanakan dengan mendapatkan perkhidmatan konsultan dari Pihak Syarikat Minyak Shell Brunei.

Matlamat penilaian semula ini ialah untuk mengkaji faktor-faktor utama serta isu-isu yang mengerakkan program e-Kerajaan, mengenalpasti kedudukan dan pencapaiannya dan menyediakan cadangan pembaikan yang perlu. Alhamdulillah, penilaian semula atau review tersebut telahpun selesai dilaksanakan.

Adalah menjadi harapan kita dengan adanya penilaian semula ini perlaksanaan Program e-Kerajaan di negara ini akan lebih kemas, teratur, lebih bersepadu dan cost effective.

Begitu juga di pihak swasta nampaknya usaha-usaha ke arah perkembangan sektor ICT juga berkembang pesat dengan tertubuhnya lebih banyak syarikat-syarikat ICT, walau bagaimanapun, sebahagian besar dari syarikat-syarikat ini masih menumpukan bidang perniagaan mereka sebagai wakil atau pengedar peralatan komputer atau hardware sahaja, ataupun menjadi rakan kongsi kepada syarikat-syarikat luar negeri dalam mengedar software, solution atau program ICT yang tertentu.

Kita berharap banyak lagi syarikat tempatan kita yang berupaya menjurus skop perniagaan mereka kepada penyediaan software atau solution, kerana inilah bidang ICT yang benar-benar diperlukan.

Kita tidak mahu cuma menumpukan perhatian kepada satu aspek sahaja, iaitu bagi membangunkan pasarana teknologi maklumat, tetapi kita juga perlu memanfaatkan dan mengisikan pasarana tersebut dengan solution dan e-service yang memberikan nilai bisnes dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi dan sosial. Kita juga tidak sepatutnya hanya akan terus bergantung kepada orang luar bagi menghasilkan apa yang kita perlukan atau memelihara apa yang kita miliki kerana trend ini hanya akan terus menjadikan negara ini dan masyarakat negara ini sebagai masyarakat pengguna atau consumer society dan bukan masyarakat pencipta atau pengeluar teknologi.

Akhirnya dengan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wata’ala jua dan dengan kalimat BISMILLAHIR RAHMAN NIRRAHIM, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Pameran Anugerah Teknologi Infokomunikasi Brunei (BICTA) 2006.

Sekian Wabillahi Taufiq Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


|| Sejarah, Visi & Misi | Tanggungjawab & Fungsi | Carta Organisasi | Jabatan-Jabatan | SHuTT | Masyarakat Bermaklumat | Maklum Balas | Kontak ||
|| BIT Council | AiTi | BICTA ||

|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||