Majlis Perasmian Hari Pelanggan
Jabatan Penerbangan Awam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi Tahun
2006
TEKS UCAPAN
Hari Khamis, 23 Zulkaedah 1427 bersamaan 14
Disember 2006
Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas
Bismillahirrahmanirrahim.
Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi
Muhammad
Sallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan
pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Yang Mulia Dato Paduka Haji Yussof bin Haji Abd Hamid,
Timbalan Menteri Perhubungan;
Yang Mulia Awang Haji Jamaluddin bin Haji Saman,
Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan;
Yang Mulia Pengiran Hj Abd Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran
Hj Ismail, Pengarah Penerbangan Awam;
Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan;
Wakil-Wakil Agensi Kerajaan dan pihak swasta yang
memberikan perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei;
Para hadirin yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarkatuh dan Selamat
Pagi.
TAHNIAH
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi
tahniah kepada Jabatan Penerbangan Awam dan komuniti Lapangan Terbang
Antarabangsa Brunei kerana berjaya menganjurkan Hari Pelanggan bagi
Jabatan Penerbangan Awam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi
tahun 2006 pada pagi ini. Saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut
Hari Penerbangan Awam yang disambut setiap tahun di seluruh dunia pada 7
Disember 2006 dengan tema "Safety And Security First And The Top
Priority".
PERKEMBANGAN INDUSTRI PENGANGKUTAN UDARA
Industri pengangkutan udara adalah merupakan salah satu
industri yang berpotensi untuk berkembang maju dan memberikan sumbangan
pendapatan yang mengalakkan kepada ekonomi negara. Ini adalah memandangkan
industri ini berkait rapat dengan industri pelancongan dan banyak
melibatkan sektor perniagaan sama ada secara langsung maupun tidak
langsung. Antaranya ialah syarikat-syaraikat yang memberikan perkhidmatan
di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, syarikat pengangkutan,
perhotelan, restoran-restoran, gedung-gedung membeli belah dan sebagainya.
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh International
Air Transport Association (IATA), terdapat peningkatan jumlah
penumpang termasuk pelancong dan penumpang yang bertransit bukan
saja di peringkat antarabangsa malahan di peringkat serantau.
Bagi rantau Asia-Pacific, China dan India adalah
merupakan dua negara besar yang mampu meningkatan industri pengangkutan
udara yang kini sedang berkembang pada kadar di antara 8 hingga ke 10
peratus setiap tahun.
Bagi rantau ASEAN pula, industri pengangkutan udara
juga dijangka akan meningkat berikutan persetujuan negara-negara ASEAN
terhadap pembebasan perkhidmatan pengangkutan udara. Mengikut kajian yang
telah dibuat bagi tempoh 20 tahun kehadapan, perkhidmatan pengangkutan
udara bagi rantau ASEAN dijangka akan meningkat pada kadar 5.5 peratus
setahun. Kadar ini melebihi purata peningkatan di peringkat global yang
mana hanyalah mencatatkan peningkatan pada kadar 4.8 peratus setahun.
Sehubungan itu, kita seharusnya peka kepada
perkembangan industri pelancongan agar perancangan rapi dapat dibuat bagi
memastikan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dapat menampung
peningkatan jumlah penumpang/pelancong yang berkunjung atau bertransit
ke negara ini dan juga bagi memastikan perkhidmatan yang perlu
disediakan adalah mencukupi dan selesa.
PEMBANGUNAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA BRUNEI
Kearah ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah
meluluskan satu peruntukan bagi Jabatan Penerbangan Awam mendapatkan
perkhidmatan konsultan yang akan bertanggungjawab bagi menyediakan Pelan
Induk Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Saya difahamkan bahawa Jabatan
Penerbangan Awam baru-baru ini telah mengeluarkan tawaran bagi mendapatkan
khidmat konsultan ini.
Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei
dijangka akan dilaksanakan dalam dua peringkat di mana bagi setiap
peringkat ianya akan dapat menampong trafik udara bagi dua belas tahun
berikutnya. Adalah dihasratkan melalui rancangan ini, Lapangan Terbang
Antarabangsa Brunei akan berupaya menghubungkan negara ini dengan lebih
banyak lagi negara-negara lain.
PEMBERIAN PERKHIDMATAN BERORIENTASIKAN PELANGGAN
Sebagai pintu masuk atau ’gateway’ udara
bagi Negara ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bertanggungjawab
bagi memastikan pengendalian penumpang, kargo dan pesawat dan
perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan dilakukan dengan efisien,
selamat dan teratur.
Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah merupakan
tempat pertama dan terakhir dikunjungi di Negara ini oleh pelancong atau
pelawat luar negara yang menggunakan pengangkutan udara. Layanan dan
pemedulian serta perkhidmatan yang diberikan dan diterima oleh
pelawat/pelancong serta mereka yang menggunakan Lapangan Terbang ini akan
memberikan kesan atau impression pertama dan akan mencerminkan mutu
perkhidmatan dan tahap kemudahan yang terdapat di Negara ini. Mereka akan
mempunyai ingatan yang berpanjangan ke atas pengalaman, baik yang manis
mahu pun yang pahit, yang mereka alami apabila mula menjejakkan kaki ke
sesebuah lapangan terbang.
Dalam hubungan ini adalah penting bagi semua yang
bertugas di Jabatan Penerbangan Awam serta Komuniti Lapangan Terbang
Antarabangsa Brunei baik yang terdiri dari agensi kerajaan mahupun pihak
swasta untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua
pengguna dan penumpang-penumpang.
Pada hemat saya ada tiga perkara penting yang mesti
diambil perhatian.
Satu ialah faktor manusia, iaitu petugas-petugas yang
bekerja di Lapangan Terbang ini tanpa mengira akan kedudukan mereka dan
dimana mereka bertugas. Hatta para pembersih dan penjaga letak kerita
mempunyai peranan penting untuk memberikan perkhidmatan yang effisen dan
layanan yang ikhlas serta pemeduliaan yang sewajarnya.
Kedua memastikan segala sistem dan jentera yang
membantu menggendalikan perkhidmatan-perkhidmatan berjalan dengan baik,
effisen dan teratur.
Ketiga ialah memastikan alam sekitar yang bersih dan
teratur.
Ketiga-tiga perkara ini penting dan tidak ada salah
satu daripadanya pincang kerana kepincangannya akan menjejaskan fungsi
Lapangan Terbang ini.
Justeru itu, tema Hari Pelanggan bertajuk ’Santunan,
Pemedulian, Effisyen dan Keselamatan Pelanggan Diutamakan’ yang dipilih
adalah sangat bertepatan. Saya penuh percaya Jabatan Penerbangan Awam dan
Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei akan sentiasa bekerjasama ke
arah meningkatkan mutu perkhidmatan yang berorientasikan pelanggan, cekap,
berkesan, telus, pemedulian dan bersopan santun seperti yang dihasratkan
oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
PERKHIDMATAN YANG KOMPETITIF
Begitu juga dengan pengguna-pengguna Lapangan Terbang
Antarabangsa Brunei yang lain, mereka secara berterusan mengharapkan
perkhidmatan yang cemerlang dan bertaraf tinggi dalam pengendalian kargo,
pengendalian pesawat, pengendalian orang ramai yang berkunjung ke Lapangan
Terbang bagi tujuan menghantar atau menyambut penumpang, berurusan dengan
pembekal perkhidmatan, atau untuk menikmati makan-minum yang terdapat di
restoran dan kedai minum. Demikian juga mereka mengharapkan segala
kemudahan yang disediakan hendaklah sentiasa di dalam keadaan yang baik,
selesa dan bersih.
Selaku warga Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa
Brunei, adalah perlu dari masa ke semasa meneliti dan menentukan aras
tanda (bench marking) tahap perkhidmatan yang diberikan dan dalam waktu
yang sama berusaha ke arah meningkatkan dayasaing perkhidmatan yang
diberikan bukan sahaja bagi memenuhi kehendak dan citarasa pengguna
perkhidmatan malahan supaya perkhidmatan yang diberikan adalah setaraf
atau setanding dan dapat berdaya-saing dengan perkhidmatan yang diberikan
oleh Lapangan Terbang Antarabangsa di luar negara.
Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei juga
harus peka yang pengguna perkhidmatan sedikit sebanyak mempunyai pilihan
untuk mendapatkan perkhidmatan dari pembekal perkhidmatan yang lain baik
yang terdapat di dalam negeri mahupun di luar negeri. Pilihan pembekal
perkhidmatan ini akan lebih ketara di masa hadapan apabila lebih banyak
lagi perkhidmatan yang dibebaskan.
LIBERAL AIR SERVICES POLICY
Perkembangan pengangkuatan udara di Negara ini
memerlukan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei menjalin rakan strategik
dengan syarikat-syarikat penerbangan penumpang yang beroperasi ke negara
ini terutama sekali Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, cargo carriers
dan pembekal perkhidmatan yang lain.
Ke arah ini bagi memudah cara perkembangan pengangkutan
udara, Negara ini mengamalkan dasar perkhidmatan udara yang liberal yang
mempunyai dua tujuan utama iaitu:
1. Memudahkan syarikat penerbangan tempatan
mengembangkan perkhidmatan udara ke negara-negara lain yang
mengamalkan dasar pengangkutan udara yang liberal samada untuk
menambah bilangan penerbangan bagi destinasi yang sedia ada mahu pun
bagi memulakan penerbangan ke destinasi baru; dan
2. Memudahkan syarikat penerbangan luar negeri yang
beroperasi ke negara ini menambah frekuensi penerbangan dan bagi
menggalakan dan menarik syarikat penerbangan lain untuk beroperasi ke
negara ini.
Dasar perkhidmatan udara yang liberal ini pada masa ini
dirundingkan melalui perundingan dua hala dan juga melalui perundingan
berbilang hala di peringkat serantau seperti BIMP-EAGA, ASEAN maupun APEC.
Di dalam usaha meningkatkan perkembangan pengangkutan
udara di rantau BIMP-EAGA, negara ahli BIMP-EAGA di masa yang terdekat
akan memetrai perjanjian persefahaman ke atas pengluasan rangkaian
pengangkutan udara yang membenarkan hak pengangkutan bebas tanpa sekatan
bagi ke-3 dan ke-4 manakala tawaran hak pengangkutan ke-5 penuh dibenarkan
menjelang tahun 2008 ke semua destinasi BIMP-EAGA berikutan dari
pencapaian Mesyuarat Pertama Menteri-Menteri Pengangkutan BIMP-EAGA yang
telah dilangsungkan di Brunei Darussalam pada 5 Jun 2006 yang lalu.
Di peringkat ASEAN pula, melalui ASEAN Roadmap for
Integration of Air Travel Sector, negara ahli telah dan akan terus
komited ke arah pertukaran perkhidmatan penumpang tanpa sekatan bagi hak
pengangkutan ke-3 dan ke-4 di antara semua bandaraya utama negara
ASEAN menjelang Disember 2008 manakala hak pengangkutan ke-5 menjelang
Disember 2010.
Pembebasan perkhidmatan udara setentunya akan
meningkatkan bilangan pengangkutan udara menggunakan Lapangan Terbang
Antarabangsa Brunei dan ini adalah merupakan satu peluang bagi negara kita
dan syarikat-syarikat tempatan dalam industri pengangkutan dan pelancongan
untuk meraih keuntungan sama ada secara langsung ataupun melalui keluaran
sampingan (spin-off) hasil dari penambahan jumlah penumpang yang
akan berkunjung ke negara ini khususnya para pelancong dan ini seterusnya
akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi industri pengangkutan dan
pelancongan.
PENYERTAAN PIHAK SWASTA
Bagi mencapai visi untuk menjadikan Negara Brunei
Darusalam sebagai Pusat Perkhidmatan menjelang tahun 2024, peranan pihak
swasta adalah tidak kurang pentingnya.
Kita menaruh harapan pihak swasta akan berusaha
membantu pihak kerajaan kearah mengembang majukan pembangunan-pembangunan
fisikal sama ada pembangunan pasarana ataupun penyediaan
perkhidmatan-perkhidmatan yang berupa komersial.
Ini bermakna semua perkhidmatan yang berkaitan dengan
sektor pengangkutan dan pelancongan seperti perkhidmatan pengangkutan
teksi, penginapan, pemandu pelancongan (tour guide) dan sebagainya
hendaklah memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, mesra dan jujur.
Sebarang kepincangan dalam tahap perkhidmatan yang diberikan akan
setentunya menjatuhkan image negara dan boleh menggugat keberkesanan
hasrat pihak Kerajaan bagi mengembang majukan sektor pengangkutan dan
pelancongan bagi negara ini.
Satu komponen penting yang akan dimasukkan dalam Pelan
Induk Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah pembentukan strategi
perniagaan dan ekonomi bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi
menjana aktibiti perniagaan dan komersial di dalam Bangunan Terminal dan
juga di luar kawasan Lapangan Terbang.
Saya penuh berharap agar pihak swasta akan dapat
sama-sama merebut peluang dalam membuat pelaburan dan menyertai aktibiti
perniagaan itu nanti.
PEMBERIAN INSENTIF
Dalam usaha untuk memperkembang majukan industri
pengangkutan udara di Negara ini, Kementerian Perhubungan dan Jabatan
Penerbangan Awam akan meneliti satu rancangan untuk memberi insentif
kepada syarikat-syarikat penerbangan yang menambah frekuensi penerbangan
ke negara ini dan juga kepada syarikat penerbangan yang menghubungkan
negara ini dengan destinasi baru.
Melalui pemberian insentif berserta dengan pembentukan
strategi perniagaan dan ekonomi bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei
seperti yang telah dijelaskan, diharap bukan saja akan dapat membantu
pihak Jabatan meningkatkan hasil pendapatannya melalui berbagai sumber
seperti pembayaran pendaratan, penyewaan pejabat dan ruang perniagaan,
pembayaran lesen juruterbang dan pendaftaran pesawat udara, passenger
service charges, perkhidmatan kajicuaca dan bayaran letak kereta,
malahan adalah juga merupakan hasrat kerajaan untuk memberikan insentif
yang flexible kepada para pelanggan yang mana pembayaran kadar atau tarif
bagi penggunaan perkhidmatan adalah berdasarkan tempoh penyewaan ruang,
sais keluasan penyewaan, jumlah pendapatan perniagaan para pengusaha yang
memberikat perkhidmatan perniagaan dan sebagainya.
Pada masa ini pendapatan yang diperolehi dari Jabatan
Penerbangan Awam melalui non-aeronautical adalah dalam 18% dari
jumlah pendapatan keseluruhan dan pencapaian ini adalah masih ditahap yang
rendah. Adalah menjadi hasrat Kementerian Perhubungan bagi Jabatan
Penerbangan Awam meneliti sumbangan-sumbangan pendapatan dari non
aeronautical supaya akan dapat dipertingkatkan sekurang-kurangnya
kepada 50% dari jumlah keseluruhan pendapatan dalam tempoh 8 tahun.
KESELAMATAN (SAFETY AND SECURITY)
Keselamatan atau "safety and security" adalah
bidang yang sangat mustahak dan diberikan perhatian yang serius. Sebagai
sebuah negara ahli kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),
adalah menjadi komitmen bagi negara ini memenuhi kehendak ’ICAO
standard practices’ dari segi safety dan security
seperti yang terdapat dalam 18 Annexes kepada Konvenysen Pertubuhan
Penerbangan Awam Antarabangsa.
Bagi memastikan negara ini memenuhi kehendak tersebut,
ICAO telah mengadakan security audit ke negara ini dari 6 hingga 16
November 2006 yang lalu di mana perkara-perkara yang berkaitan dengan security
termasuk perundangan negara ini, security program dan manual
yang terdapat dan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan telah
diaudit. Hasil dari audit berkenaan satu laporan sementara telah
disediakan oleh pihak ICAO bagi tindakan berkenaan negara ini.
Mengenai dengan safety, pihak ICAO akan
mengadakan safety audit dari 19 Februari hingga 1 Mac 2007. Seperti
juga security audit, safety audit ini akan menilai
perkara-perkara yang berkaitan dengan safety termasuk perundangan
negara ini, safety program dan manual yang terdapat dan
langkah-langkah keselamatan yang diamalkan.
Negara ini akan memastikan tindakan-tindakan berkaitan
akan diambil bagi memastikan negara ini memenuhi kehendak ICAO
standards berhubung dengan safety dan security. Dalam
hubungan ini, negara ini akan secara efektif mengikuti aktiviti-aktiviti
anjuran ICAO.
PELANCARAN PAKAIAN SERAGAM PEKERJA TEMPAT PENIAGAAN
Sempena Hari Pelanggan ini, saya ingin mengucapkan
setinggi tahniah kepada semua pengusaha kedai dan tempat perniagaan yang
terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang mulai hari ini akan
menggunakan pakaian seragam. Saya merasa bangga kerana inisiatif untuk
menggunakan pakaian seragam ini diambil oleh para pengusaha sendiri.
Pelancaran pakaian seragam ini menunjukkan satu
komitmen oleh setiap pengusaha kedai dan tempat perniagaan ke arah
kesediaan membuat perubahan, merubah mind-set, memberikan
perkhidmatan yang lebih berorientasikan pelanggan dan lebih
bertanggung-jawab.
PENUTUP
Buat mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin
mengucapkan setinggi tahniah kepada Jabatan Penerbangan Awam dan Komuniti
Lapangan Terbang Antarabangsa kerana berjaya menganjurkan Hari Pelanggan
Jabatan Penerbangan Awam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi
tahun 2006.
Saya penuh berharap perkhidmatan yang diberikan oleh
Komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa kepada pelanggan dengan santunan,
pemedulian, effisyen dengan mengutamakan keselamatan akan dibuat secara
berterusan demi kepentingan bersama juga.
Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.
|