The Government of Brunei Darussalam
            

Majlis Pembukaan Bangunan Baru Bomba Lapangan Terbang

TEKS UCAPAN 

Hari Rabu, 10 Rabiulakhir 1429 bersamaan 16 April 2008


ﻪﺘﺎﻜﺭﺒﻭ ﺔﻤﺤﺮﻮ ﻢﻜﻴﻟﻋ ﻡﻼﺴﻟﺍ

Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, Kaum Kerabat dan Pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman. 

Yang Mulia Pengiran Hj Abd Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Hj Ismail, Pengarah Penerbangan Awam selaku Pengerusi Majlis;  

Yang Mulia Dato Paduka Haji Yusoff bin Haji Abd Hamid, Timbalan Menteri Perhubungan;  

Yang Mulia Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Laila Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan; 

Ketua-ketua Jabatan, Timbalan Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan; 

Wakil-wakil agensi-agensi Kerajaan dan swasta ahli kepada Jawatankuasa Kecemasan Lapangan Terbang; 

Para hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian.   

TERIMA KASIH DAN TAHNIAH MEMPUNYAI BANGUNAN BARU BOMBA LAPANGAN TERBANG

Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua kita dapat hadir dan mengadakan Majlis Pembukaan Bangunan Baru Bomba Lapangan Terbang pada pagi ini.  

Saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Pengarah Penerbangan Awam dan Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang kerana dapat melaksanakan projek pembinaan Bangunan Stesyen Bomba yang baru ini. 

 

PERANGSANG BAGI KECEMERLANGAN PERKHIDMATAN

 

Bangunan Baru Bomba Lapangan Terbang ini, adalah bagi menggantikan Bangunan Lama Bomba Lapangan Terbang yang lama dan juga menjadi bukti  keperhatinan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan dan  diharap dapat membantu meningkatkan prestasi perkhidmatan dan operasi bomba lapangan terbang menjadi lebih baik lagi.

 

Saya penuh percaya Bangunan Baru Bomba yang moden ini akan dapat mewujudkan suasana bekerja yang kondusif dan memberikan keselesaan bekerja kepada pegawai dan anggota Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang serta akan menjadi perangsang kepada pegawai dan anggota bomba dalam memberikan mutu  perkhidmatan yang terbaik.

 

MATLAMAT STRATEGIK

‘SAFE, SECURE AND CLEAN ENVIRONMENT’  


Kecemerlangan operasi bomba setentunya akan dapat meningkatkan tahap keselamatan penerbangan dari segi keselamatan (safety) di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan memainkan peranan penting dalam perkembangan penerbangan awam dan pengangkutan udara di Negara ini.  

Menyedari kecemerlangan keselamatan dari segi safety dan security perlu diwujudkan dalam ketiga-tiga bidang pengangkutan iaitu udara, laut dan darat bagi perkembangan ketiga-tiga sektor industri ini di Negara ini, Kementerian Perhubungan telah menjadikan ‘Safe, Secure and Clean Environment’ iaitu menggalakkan keselamatan dan sekuriti serta mempromosi industri yang mesra alam sebagai salah satu matalamat strategik yang perlu dilaksanakan kearah merealisasikan visi Kementerian Perhubungan bagi mengwujudkan Masyarakat yang Canggih dan Kecemerlangan dalam Perhubungan bagi Memperkasa Dayasaing Negara (Towards A Sophisticated Society and Excellence in Communications for Enhancing National Competitiveness).  

Kearah merealisasikan matalamat strategik Kementerian Perhubungan dan dalam memenuhi Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (Chicago Convention), Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Penerbangan Awam perlu memastikan setiap organisasi dan pembekal perkhidmatan berkaitan dengan penerbangan awam memenuhi sepenuhnya dan secara berterusan ‘International Civil Aviation Standards and Recommended Practices’.

 

PERKHIDMATAN BOMBA LAPANGAN TERBANG 

 

Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang adalah tidak terkecuali untuk memenuhi kehendak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa ini.  

 

Jabatan Penerbangan Awam, dan Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang, khasnya, hendaklah sentiasa memastikan yang anggota bomba, kenderaan-kenderaan bomba, alat, peralatan dan media pemadam kebakaran akan sentiasa dapat memenuhi Kategori 9 Tahap Perlindungan Kebakaran bagi melindungi pesawat terbesar yang beroperasi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ini termasuk penumpang, juruterbang, anak buah kapal dan harta benda yang terdapat di dalam nya.

 

Kecekapan anggota bomba dalam bertindak semasa kejadian dan kemalangan termasuk memenuhi masa bertindak yang ditentukan dari stesyen ke tempat kejadian atau kemalangan adalah sangat penting bagi menyelamat nyawa dan harta benda.

 

Masa bertindak adalah juga sangat bergantung kepada kenderaan bomba. Dalam hubungan ini, adalah sangat mustahak kenderaan-kenderaan bomba termasuk peralatan yang terdapat didalamnya dipelihara secara pragmatik supaya ianya akan sentiasa dalam ‘tip-top condition’. Ujian keatas kenderaan bomba ini hendaklah sentiasa dilakukan dan sebarang kerosakan hendaklah diperbaiki dengan serta merta.

 

Bagi memastikan perkhidmatan bomba lapangan terbang yang diberikan ini memenuhi kehendak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, saya sarankan supaya audit dalaman keatas perkhidmatan bomba ini dijalankan secara regular dari masa ke semasa.

 

LATIHAN BAGI ANGGOTA BOMBA

 

Keberkesanan sesebuah organisasi dalam memberikan perkhidmatan yang cekap dan efisien sangat bergantung kepada kecekapan tenaga kerjanya. Ke arah ini kecekapan tenaga kerja akan dapat dipertingkatkan dengan pemberian latihan yang bersistemik termasuk memberikan latihan asas, latihan kompetensi dan kepakaran serta latihan ‘recurrency’. 

Dalam hubungan ini saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pegawai dan anggota bomba lapangan terbang diatas kejayaan mengikuti kursus asas bomba dan kursus pegawai rendah. Saya berharap agar segala pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi semasa berkursus akan digunakan dalam menjalankan tugas-tugas seharian.  

Ucapan tahniah dan syabas juga diberikan kepada tenaga pelatih kerana dapat mengungkayahkan latihan asas kebombaan ini secara dalaman sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang hendaklah berusaha kearah memberikan latihan di peringkat lanjutan di masa hadapan. Dengan kemudahan-kemudahan yang terdapat di Bahagian Bomba Lapangan Terbang, serta pengalaman dalam memberikan latihan, usaha-usaha boleh diteroka untuk mengongsi latihan-latihan ini dengan anggota bomba dari dalam dan luar negeri.

 

PELAN KECEMASAN LAPANGAN TERBANG

 

Saya difahamkan pada masa ini Pelan Kecemasan Lapangan Terbang sedang dikemaskini dengan mengambil kira nasihat-nasihat dari pihak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa hasil dari audit keselamatan yang dibuat oleh pihak ICAO pada bulan Februari 2007 dan juga dengan  pemindahan Stesyen Bomba ke lokasi baru ini.

 

Dalam hubungan ini saya menyarankan supaya Jabatan Penerbangan Awam dengan kerjasama Jawatankuasa Kecemasan Lapangan Terbang (Airport Emergency Committee) merancang satu Latihan Kemalangan Udara secepat mungkin bagi tujuan menilai kecekapan anggota bomba serta anggota setiap agensi-agensi Kerajaan dan swasta yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang.

Latihan kecemasan seperti ini juga akan dapat menilai keupayaan aset-aset yang terdapat di setiap agensi berkenaan serta menilai keberkesanan standard operating procedures masing-masing yang terdapat dalam Pelan Kecemasan Lapangan Terbang itu.


NASIHAT KEPADA ANGGOTA BOMBA 


Sebagai anggota beruniform, saya ingin mengingatkan anggota bomba supaya akan sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi yang boleh dijadikan contoh oleh pegawai dan kakitangan lain di Jabatan Penerbangan Awam.  Anggota bomba hendaklah sentiasa patuh kepada peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh ketua masing-masing disamping mematuhi Peraturan Am Perkhidmatan Awam.

Saya berseru kepada semua anggota bomba amnya dan anggota bomba yang baru menamatkan latihan asas kebombaan ini, khususnya, supaya akan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing. Sebagai ahli penyelamat, anggota bomba hendaklah sentiasa dalam keadaan berwaspada, bersedia dan ‘physically dan mentally fit’ kerana respon yang segera keatas kejadian dan kemalangan adalah sangat penting bagi menyelamat nyawa dan harta benda.

Setiap anggota bomba hendaklah sentiasa ingat bahawa tanggungjawab yang dipikul bagi menyelamat nyawa dan harta benda bukanlah ringan.  Ianya memerlukan konsentrasi yang fokus supaya tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain. Dalam hubungan ini, saya berseru supaya setiap anggota bomba hendaklah menjauhi dari elemen yang negatif termasuk menggunakan dadah yang terkawal dan menghidu gam.

PERASMIAN / PENUTUP

Dengan mendahului kalimah serta dengan berselawat keatas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, saya dengan sukacitanya merasmikan Bangunan Baru Stesyen Bomba Lapangan Terbang Antarabangsa.  

Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.


|| Sejarah, Visi & Misi | Tanggungjawab & Fungsi | Carta Organisasi | Jabatan-Jabatan | Rangkakerja Pelan Strategik | Mesyuarat Serantau & Antarabangsa | Sumber Tenaga Manusia | Siaran Akhbar | Teks Ucapan
| Maklum Balas | Kontak ||
|| BIT Council | AiTi | BICTA ||

|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||