Majlis Sambutan Hari Kajicuaca
Sedunia 2006
Bangunan Blok B23
Flat Anggerek Desa
23 Mac 2006
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Mulia Awang Haji Matnor bin Haji Salleh, Pemangku
Pengarah Penerbangan Awam
Selaku Timbalan Pengerusi Majlis Sambutan Hari
Kajicuaca Sedunia 2006;
Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Yusof bin Haji Abdul
Hamid,
Timbalan Menteri Perhubungan;
Yang Mulia Awang Haji Ibrahim bin Haji Mohd Ali,
Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan;
Yang Mulia, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan,
Hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, Kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu
Wata'ala di atas limpah rahmatnya mengizinkan kita hadir beramai-ramai di
majlis pada hari ini.
Saya dengan ikhlas ingin mengucapkan penghargaan dan
terima kasih kepada Pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Majlis ini kerana
menganjurkan Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2006 bagi Negara Brunei
Darussalam.
Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Timbalan
Pengerusi tadi, Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia disambut oleh
negara-negara ahli Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) bagi memperingati
penubuhannya lebih 50 tahun yang lalu. Melalui perkhidmatan kajicuaca,
negara kita juga tidak ketinggalan turut sama meraikan hari yang
bersejarah ini.
Tema sambutan "Mencegah Dan Mengurangkan Bencana
Alam", memberikan satu cabaran terhadap keupayaan kita dalam
menangani isu serta komitmen kita kepada penduduk dan negara ini khususnya
dan kepada dunia amnya.
Sejak akhir-akhir ini kita telah menyaksikan berlakunya
bencana alam di dunia baik yang dapat diramal maupun yang tidak dapat
diramal seperti ribut taufan yang mengakibatkan banjir, hujan ribut yang
membawa akibat kepada pelaut-pelaut dan penangkap ikan, ombak besar yang
melanda daratan dan memusnahkan orang awam dan harta benda. Dengan
kejadian yang diduga dan tidak dapat diduga ini, maka perkhidmatan
kajicuaca kepada orang ramai dan agensi-agensi adalah menjadi semakin
mustahak lagi.
Ke arah melengkapkan lagi usaha kita dalam bidang
kajicuaca, maka Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Rancangan
Kemajuan Negara kelapan telahpun memperuntukkan sejumlah satu juta lapan
ratus tiga puluh ribu ringgit ($1,830,000) bagi mengadakan System Of
Lightning Data Acquisition, Monitoring And Tracking (SLAMAT) yang
telahpun dimulakan dalam bulan November 2004 bagi membolehkan Negara
Brunei Darussalam mengesan, mengumpul, memantau dan menganalisa maklumat
kilat di semua kawasan di negara ini dengan membina 5 stesen kilat (lightning
stations) di semua daerah.
Selain daripada itu, RKN kelapan juga memperuntukkan
dua juta lima ratus tujuh puluh lima ringgit bagi Automatic
Meteorological Data Acquisition System (AMEDAS) iaitu peralatan bagi
menyediakan "real-time" pemerhatian cuaca secara
automatik di seluruh negara. Terdapat 14 stesen cuaca automatik (automatic
weather stations) di seluruh negara iaitu empat (4) stesen di Brunei
Muara, tiga (3) di Tutong, empat (4) di Kuala Belait dan tiga (3) di
Temburong. Automatic weather station ini mengandungi peralatan dan
sensor yang dapat menyukat kelajuan dan arah tuju angin, suhu, humiditi,
arah tuju cahaya matahari, dan hujan. Demikian juga dengan tambahan sensor
itu antara lainnya akan dapat mengetahui keadaan pencemaran udara. Adalah
diharapkan peralatan-peralatan ini akan dapat membantu meningkatkan
keupayaan perkhidmatan kajicuaca di negara ini dan dalam masa yang sama
memberikan maklumat dan perkhidmatan kepada orang ramai.
Walaupun pada realitinya, kita tidak mungkin dapat
mengelakkan terjadinya bencana alam, tetapi kita boleh berusaha
mengurangkan kesannya yang serius kepada penduduk. Sementara itu,
meringankan kesan (mitigating). Iaitu menjurus kepada mengurangkan
kesan buruk bencana alam, dan ini boleh menyumbang kepada keselamatan dan
kesejahteraan penduduk dunia. Dalam hal ini saya penuh percaya objektif
ini boleh dicapai jika kita selaku negara ahli, meningkatkan dan tetap
memfokus kepada komitmen kita sepertimana yang dituntut dalam konvensyen
pertubuhan kajicuaca sedunia di mana, sebagai agensi kebangsaan bagi
kajicuaca dan hidrologi, perkhidmatan kajicuaca Brunei Darussalam
seharusnya dapat menyediakan dan menyalurkan maklumat kajicuaca samada
yang berupa ramalan, khidmat nasihat, amaran awal atau yang seumpamanya
secara lebih bersistematik, teratur, efisen dan berkesan.
Justeru itu juga saya ingin menyarankan bahawa
tanggungjawab ini tidaklah hanya tertumpu kepada perkhidmatan kajicuaca
sepenuhnya, malah adalah juga merupakan tanggungjawab bersama yang
memerlukan penglibatan dan kerjasama padu serta komitmen daripada pihak
yang lain samada pihak kerajaan mahupun pihak swasta.
Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan syabas
kepada jabatan penerbangan awam atas inisiatif mereka bagi perkhidmatan
kajicuaca untuk menjadikan bangunan ini sebagai sebuah pusat pemantauan
dan juga sebuah pejabat kerajaan yang berfungsi penuh semata-mata untuk
meningkatkan khidmat kepada negara dan orang ramai.
Saya juga difahamkan bangunan ini menempatkan pusat
maklumat dan data iklim yang mempunyai fungsi penting mengumpul dan
mengarkib data iklim negara brunei darussalam yang dianggap sebagai satu
khazanah negara. Pusat ini juga bertindak sebagai pusat perkhidmatan
pelanggan maklumat cuaca dan iklim yang mudah dikunjungi orang ramai.
Saya turut berbangga dengan adanya bangunan kajicuaca
dan dengannya dapat melaksanakan kedua projek yang dinyatakan oleh
Pengerusi tadi. Ini adalah merupakan pencapaian yang signifikan dan satu
lagi mercu tanda bagi perkembangan kajicuaca di negara kita.
Saya yakin dengan adanya bangunan dan sistem-sistem ini
akan dapat pula meningkatkan keupayaan dan keberkesanan khidmat-khidmat
yang disediakan oleh perkhidmatan kajicuaca negara brunei Darussalam.
Pada hemat saya sudah sampai masanya bahagian
perkhidmatan kajicuaca Tidak hanya memberikan keutamaan kepada kajicuaca
penerbangan (aeronautical meteorology) semata-mata, bahkan
memberikan tumpuan yang sama kepada perkhidmatan kajicuaca yang lain,
seperti perkhidmatan kajicuaca umum (public weather services), kajicuaca
laut, kajicuaca pertanian dan cabang-cabang kajicuaca yang lainnya
supaya lebih ramai lagi orang akan mendapat manfaat dari perkhidmatan ini.
Saya percaya bahagian perkhidmatan kajicuaca akan dapat mengambil
inisiatif, langkah dan usaha yang bersesuaian kearah merealisasikan hasrat
ini.
Apa yang ditekankan ini adalah merupakan tunggak asas
apa yang terkandung dalam Konvensyen Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO
Convention) yang sudah sewajarnya kita sebagai negara ahli berusaha
untuk melaksanakannya. dan apa yang saya dapat melihat sekarang adalah
inisiatif yang sudah diungkayahkan dalam menyahut saranan pertubuhan
kajicuaca sedunia oleh jabatan penerbangan awam,
Walaupun demikian, saya juga memahami hakikat untuk
melaksanakan perkara ini sangatlah berat dan bukannya perkara mudah,
menimbangkan perkhidmatan kajicuaca, hanyalah satu bahagian dalam struktur
organisasi jabatan penerbangan awam, berbeza dari kebanyakan negara-negara
lain di mana perkhidmatan kajicuaca adalah merupakan sebuah agensi
kerajaan yang tersendiri, yang mempunyai skop, bidang tugas serta
tanggungjawab yang merujuk kepada konvensen pertubuhan kajicuaca sedunia.
Dalam menangani isu-isu semasa dan juga kepentingan
negara sambil meningkatkan visibility perkhidmatan kajicuaca sebagai satu
agensi kerajaan, iaitu khususnya yang turut terlibat dalam hal-ehwal yang
berhubungkait dengan bencana alam, negara Brunei darussalam juga telah
diberikan kepercayaan oleh pertubuhan asean untuk menjadi tuan rumah
mesyuarat "second technical task force for the establishment of
monitoring networks of the tsunami early warning system in ASEAN"
pada tahun ini. Sehubungan ini, negara ini akan menjadi tuan rumah
mesyuarat berkenaan, yang dirancang untuk berlangsung pada 4 hingga 5
april 2006.
Akhirnya, mari lah kita berdoa semoga segala hasrat
baik dan perancangan yang kita usahakan akan mendapat restu dan keberkatan
dari Allah Subhanahu Wata'ala serta mendapat hasil yang dihajati.
Mudah-mudahan jua perasmian bangunan ini, dan penempatan pusat SLAMAT
dan AMEDAS akan menjadi pendorong dalam memajukan lagi usaha
kita untuk mencapai perkhidmatan awam yang berkualiti serta cemerlang.
Dengan mendahulukan kalimat "Bismillahir Rahmanir
Rahim" dan dengan bertawakkal kepada Allah, serta selawat dan salam
ke atas Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam, saya dengan sukacita
merasmikan Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia bagi Negara Brunei Darusssalam.
Sekian. wabillahi taufiq walhidayah, wassalamu 'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.