Majlis Pelancaran Rasmi Pameran Anugerah Teknologi
Infokomunikasi Brunei (BICTA) 2005
UCAPAN PERASMIAN
Hari Khamis, 27 Oktober 2005
Press Conference Hall, Pusat Persidangan Antarabangsa
Berakas
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
BISMILLAHIR RAHMAN NIR RAHIM
Yang Mulia
Dato Paduka Hj Md Yusof bin Hj Md Hassan
Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan,
selaku Pengerusi Majlis
Yang Mulia
Dato Paduka Haji Md Yusoff bin Haji Abd Hamid
Timbalan Menteri Perhubungan.
Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara
Yang Mulia
Setiausaha-Setiausaha Tetap
Pengiran-Pengiran / Pehin-Pehin / Dato-Dato /
Awang-Awang / Dayang-Dayang yang dihormati sekalian.
Alhamdullillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu
Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya jua kita dapat
berkumpul bersama-sama di Majlis yang berkebajikan ini.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan
setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Penyelaras Anugerah
Teknologi Infokomunikasi Brunei (BICTA) kerana menganjurkan Pelancaran
Pameran BICTA 2005 pada pagi ini.
Kita sedia maklum bahawa antara objektif utama bagi
menganjurkan BICTA ini adalah untuk menjadi landasan atau platform bagi
menjana inovasi dan kreativiti dan kecemerlangan dalam bidang ICT
dikalangan individu, pengusaha ICT kecil dan sederhana yakni SME dan
institusi-institusi pendidikan di negara ini. Di samping itu, anugerah
BICTA juga menjadi tanda aras atau benchmark kepada produk dan solution
bagi innovasi dan kreativiti dalam bidang ICT dan bagi menghargai
pencapaian terbaik individu, pengusaha-pengusaha ICT kecil dan sederhana
dan organisasi-organisasi yang beroperasi di negara ini.
Saya percaya bahawa objektif ini tidak akan dapat
dicapai dengan hanya mengadakan pertandingan semata-mata, akan tetapi
setentunya akan memerlukan tindakan-tindakan susulan. Ini adalah merupakan
satu cabaran terutama kepada usaha-usaha untuk menjana semangat
keusahawanan khususnya bagi melahirkan ‘technopreneurs’ tempatan di
bidang ICT.
Perkembangan ICT di negara ini sejak sepuluh tahun yang
lalu adalah sangat menggalakkan samada dari segi literasi ICT yang semakin
meningkat ataupun penggunaan ICT dalam kerajaan, swasta, bisnes atau
persendirian. Kita bersyukur kerana mampu menanai perkembangan dan
kemajuan ICT ini, walaupun sudah ada negara yang melangkah menuju kepada ubiquitous
technology. Perkembangan ini semakin ketara lagi akhir-akhir ini
dengan bermulanya pelaksanaan rancangan e-Kerajaan. Kita menyaksikan akan
tingginya keghairahan dan semangat kementerian-kementerian dan
jabatan-jabatan kerajaan untuk melaksanakan rancangan masing-masing. Dalam
masa yang sama kita juga menyaksikan melonjaknya semangat dan keghairahan
syarikat-syarikat tempatan yang berurus-niaga dalam bidang computer dan
ICT yang tumbuh dengan jumlahnya sehingga hari ini lebih kurang 200 buah.
Kita menghargai dan berasa gembira dengan inisiatif ini.
Kita gembira kerana sebahagiannya akan melibatkan diri dalam
racangan-rancangan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Kedua, dengan
bilangan tersebut, sudah tentu akan dapat menyediakan peluang-peluang
pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Dan ketiga dari projek-projek yang
mereka laksanakan, saya percaya akan dapat memberi kesempatan atau laluan
kepada tenaga tempatan untuk mendalami ilmu ICT dan memperkembangkannya
atau mungkin akan menjadi pemangkin kepada transfer of technology.
Akan tetapi sebahagian besar daripada syarikat-syarikat
ini menumpukan bidang perniagaan mereka sebagai wakil atau pengedar
peralatan komputer atau hardware, ataupun menjadi rakan kongsi
kepada syarikat luar negeri dalam mengedar software, solution
atau program ICT yang tertentu. Terlalu sedikit syarikat tempatan kita
yang menjurus kepada penyediaan software atau solution, sungguhpun inilah
bidang yang benar-benar diperlukan.
Dalam hubungan ini, saya menyedari bahawa oleh kerana
demand bagi mengadakan software, solution atau program diperlukan dalam
masa yang singkat, maka satu alternative ialah bagi menggunapakai apa yang
sedia ada. Demikian juga, saya juga memahami bahawa ada yang berfikir
pasaran bagi negara ini adalah kecil dan kerana itu mungkin tidak "cost-effective"
bagi menghasilkan sesuatu yang baru. Tetapi dalam masa yang sama, saya
juga menyedari bahawa pasaran software atau solution bagi pasaran kecil
dan sederhana di luar negeri adalah besar. Dalam konteks ini pada pendapat
saya, syarikat-syarikat tempatan perlu menggunakan peluang dan inisiatif
Kerajaan dalam ICT pada masa ini bagi mengukuh dan memantapkan
syarikat-syarikat mereka sebagai asas untuk meneroka peluang-peluang
bisnes di luar negara. Kita memahami bahawa kita tidak mampu bersaing
dengan gergasi-gergasi ICT tetapi SME juga mempunyai tempat dan peranannya
di arena serantau dan antarabangsa sebagaimana juga syarikat-syarikat SME
telah menembusi pasaran di negara ini.
Saya bimbang, jika kita hanya menumpukan perhatian
kepada satu aspek dari perkembangan ICT di negara ini, iaitu bagi
melengkapkan pasarana kita dengan teknologi maklumat, dengan kemampuan
kewangan kita, kita akan mencapai status tersebut. Tetapi kita akan terus
bergantung kepada orang luar bagi menghasilkan apa yang kita perlukan atau
memelihara apa yang kita miliki. Tidak lebih daripada itu. Trend ini akan
terus menjadikan negara dan masyarakat kita sebagai masyarakat pengguna
atau "consumer society" dan bukan masyarakat pencipta
atau pengeluar teknologi. Kepada kitalah yang akan menentukan.
Kita di negara ini sebenarnya tidak gersang dengan
bakat-bakat yang berkebolehan serta berpotensi menghasilkan
ciptaan-ciptaan ICT. Pertandingan Inforama atau Teknologi Maklumat telah
diadakan sejak tahun 1996 dan pertandingan ciptaan software bagi
maktab-maktab dan institusi-institusi pengajian tinggi telah dimulakan
sejak tahun 2000. Inforama dan BICTA telah menjadi wadah dalam mencungkil
bakat-bakat dalam ciptaan ICT untuk beberapa tahun ini. Ini bermakna
bahawa dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini orang-orang kita telah dapat
mengetengahkan hasil mereka. Akan tetapi semua hasil ciptaan dan daya
kreatif dan inovasi mereka ini berakhir dan tinggal menjadi tontonan di
pameran ini sahaja. Setentunya kita semua tidak mahu ini akan terus
berlaku.
Dalam hubungan ini saya percaya bahawa perkara yang
penting untuk diungkayahkan dengan segera ialah bagi memastikan
produk-produk yang dihasilkan dapat dipertingkatkan kepada satu tahap di
mana ianya dapat digunapakai di negara ini ataupun untuk memberikan
commercial value untuk dipasarkan. Ini setentunya memerlukan beberapa
proses. Sehubungan ini adalah disarankan agar pihak-pihak yang tertentu
akan dapat menyediakan bantuan, bimbingan dan galakan yang bersesuaian.
Berkaitan dengan ini kita mengalu-alukan dan berasa gembira akan penubuhan
Incubator Center, serta usaha kearah Penyelidikan dan Perkembangan ataupun
R&D. Saya yakin melalui cara ini kita akan dapat mendokong dan
mempercepatkan hasrat kerajaan kearah menjana perkembangan industri ICT di
Negara ini dan kita akan dapat menonjolkan jenama atau brand buatan
Brunei diperingkat serantau atau antarabangsa.
Hadirin yang dihormati sekalian.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah di Majlis
Pelancaran Persidangan Kebangsaan Mengenai Masyarakat Bermaklumat (NASIS)
pada 07 September 2005 yang lalu telah menyentuh mengenai dengan
pembentukan satu e-Strategy yang sama-sama mendokong wawasan kearah
memanfaatkan ICT bagi mencapai visi e-Brunei. Baginda juga menekankan
pentingnya untuk memberikan tumpuan dan perhatian kepada hardware dan
software yang disalurkan dalam ICT. Dalam hubungan ini, saya
berpendapat bahawa melalui BICTA ini, kita akan dapat menyahut harapan
Baginda kearah menyediakan keperluan aplikasi-aplikasi bagi e-Kerajaan, e-Masyarakat
dan e-Perniagaan.
Pada masa ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
telah, sedang dan akan melaksanakan beberapa projek e-Kerajaan di mana
pelaburan yang sangat besar telah dibuat bagi menyediakan infrastruktur
ICT termasuk juga program-program yang menyumbang kepada perkembangan
sumber tenaga manusia iaitu dengan tujuan dan harapan supaya semua lapisan
masyarakat akan mampu mendapatkan akses kepada teknologi ICT sebagai cara
untuk membangun dan meningkatkan kualiti kehidupan kita.
Kementerian Perhubungan
melalui projek e-Mincom telah menyediakan beberapa projek untuk kemudahan
orang ramai dan salah satu daripadanya ialah Sistem Pengangkutan Jalan
yakni SPD yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat. Projek
ini akan menggantikan sistem lama yang dibuat secara manual kepada sistem
baru yang secure dengan menggunakan teknologi terkini seperti ‘Machine
Readable Card (MRC)’ dan ‘Machine Readable Document (MRD)’.
Sistem ini akan mempunyai
rangkaian atau network kepada ‘stakeholders’ yang lain
seperti pasukan Polis Diraja Brunei dan agensi-agensi kerajaan yang lain,
agen-agen pengedar kereta, syarikat-syarikat insuran, institusi-institusi
kewangan dan sekolah-sekolah memandu di mana segala maklumat dan aktiviti
akan dapat dikongsikan bersama. Melalui perlaksanaan projek ini nanti,
adalah diharapkan pihak kerajaan akan dapat menyediakan perkhidmatan yang
lebih cekap, cepat, selamat dan reliable dan apabila projek e-Mincom
Portal beroperasi sepenuhnya, orang ramai Insha Allah akan dapat
menerima perkhidmatan ini secara ‘on line’.
Akhirnya dengan bertawakal
kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan dengan kalimat BISMILLAHIR RAHMAN
NIRRAHIM, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Pameran Anugerah
Teknologi Infokomunkasi Brunei (BICTA) 2005
Sekian Wabillahi Taufiq
Walhidayah Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.