PADA 24 SYAWAL 1426 HIJRIAH BERSAMAAN 27 NOVEMBER 2005
Yang Mulia
Awang Haji Abd Kadir bin
Tengah
Pemangku Ketua Pos Agung
Selaku Pengerusi Majlis
Yang Mulia
Dato Paduka Awang Haji Yusoff bin Haji
Abd Hamid
Timbalan Menteri Perhubungan dan Datin
Yang Mulia
Dato Paduka Awang Haji Md Yusof bin Haji
Md Hassan
Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Pengiran
Datin
Yang Mulia
Ketua-ketua Jabatan, Timbalan-timbalan
Ketua Jabatan, Pengarah-pengarah dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian
Perhubungan, serta Pegawai-pegawai dan Kakitangan Kementerian
Perhubungan dan Jabatan-jabatan di bawahnya, hadirin dan hadirat yang
dihormati sekalian.
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhana
Wataala di atas limpah rahmat dan InayahNya jua, kita dapat berkumpul
pada pagi hari ini di Majlis Sambutan Ramah Mesra Hari Raya Aidil Fitri
bagi Kementerian Perhubungan dan Jabatan-jabatan di bawahnya bagi tahun
1426 Hijriah bersamaan tahun 2005 Masehi.
Terlebih dahulu saya sukacita mengucapkan setinggi
penghargaan kepada Pemangku Ketua Pos Agung selaku Pengerusi Majlis di
atas daya usaha mengadakan Majlis Sambutan pada pagi ini yang diharap
akan dapat merapatkan lagi jalinan persaudaraan keluarga Kementerian
Perhubungan.
Sempena hari yang mulia ini, saya, bagi pehak keluarga
saya, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf dzahir dan bathin kepada
semua warga Kementerian Perhubungan. Kami juga sukacita merakamkan
ucapan terima kasih kepada mereka yang sudi berhari raya ke rumah kami
dan memohon maaf kerana tidak semuanya pula dapat di kunjungi.
Hari Raya Aidil Fitri adalah hari kemenangan bagi umat
Islam setelah berjaya mengharungi bermacam jenis dugaan dan cabaran di
bulan Ramadhan. Sewajarnya ianya di sambut dengan membesarkan Allah SWT
dengan cara yang selayaknya.
Ramadhan telah dapat melatih dan mendidik umat Islam
untuk berdisiplin, sabar, bersikap jujur dan amanah, pemurah dalam
membantu mereka yang memerlukan bantuan seperti fakir dan miskin serta
anak yatim semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah SWT.
Sesungguhnya banyak menfaat yang diperolehi di bulan
Ramadhan. Bukan sahaja kita dapat menambah dan meningkatkan amal ibadat
dan meraih pahala yang banyak, tetapi yang lebih penting ialah
memperkukuh nilai-nilai rohani kita. Latihan, didikan dan nilai-nilai
murni dari amalan berpuasa itu sewajarnya pula diamalkan selepas bulan
Ramadhan. Saya percaya, jika latihan, didikan dan nilai-nilai murni ini
dapat terus di amalkan dengan serious, ianya akan dapat membentuk
seorang pekerja itu menjadi seorang yang lebih bertanggung jawab,
dedikasi, jujur dan amanah.
Saya menekankan perkara ini kerana fungsi kementerian
ini adalah banyak bergantung kepada memberikan perkhidmatan kepada orang
ramai. Dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab seharian, sifat-sifat
mulia yang saya sebutkan tadi serta sikap pemedulian dan komitmen
setentunya akan dapat meningkatkan lagi prestasi jabatan dan kementerian
itu. Layanan yang baik kepada orang ramai dan pelanggan bukan sahaja
akan dapat menjaga integriti jabatan sebagai penyedia perkhidmatan,
bahkan mengekalkan tahap pencapaian perkhidmatan yang diharapkan oleh
para pelanggan.
Kita tidak harus berpuashati dengan tahap pencapaian
perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai pada masa ini. Tetapi
kita seharusnya sentiasa berusaha membuat langkah-langkah pembaikan dari
segi proses, prosedur dan pengendalian penyampaian perkhidmatan bagi
memenuhi ekspekasi dan kehendak pelanggan masing-masing. Ketua-ketua
Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan hendaklah juga sama-sama berusaha
mewujudkan budaya kerja cemerlang. Budaya kerja cemerlang yang saya
maksudkan termasuklah semangat kerja berpasukan, permuzakarahan dan
sifat keterbukaan (openess) dikalangan pegawai dan kakitangan.
Semangat kerja berpasukan (team work) adalah menjadi
teras pada kestabilan organisasi di setiap jabatan yang akan seterusnya
mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan bekerjasama.
Sifat keterbukaan pula penting bagi menwujudkan suasana
kondusive yang dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan memberikan
pandangan dan sumbangan bagi kemajuan jabatan masing-masing.
Ciri-ciri budaya kerja cemerlang seperti invotif adalah
perlu kerana kita sentiasa terdedah kepada cabaran dan
perubahan-perubahan serta ekspekasi orang ramai yang sentiasa meningkat.
Menyedari akan hakikat ini, semua jabatan adalah diseru untuk mengambil
langkah pantas dan bertepatan supaya cabaran dan saingan berkenaan boleh
diolah menjadi dorongan bagi memenuhi tuntutan semasa.
Kementerian Perhubungan telah menyediakan
strategi-strategi jangka sederhana dan panjang ke arah pencapaian misi
Kementerian iaitu menghubungkan Negara Brunei Darussalam ke komuniti
global dalam era informasi. Kita bukan sahaja memerlukan perkhidmatan
pengangkutan dan perhubungan yang selamat, terjamin, effisen, dan
bersepadu, tetapi perlu membantu iklim yang kompetitif dan kondusif bagi
pertumbuhan indusstri-industri dan mengembangkan serta mempromosikan
perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh Jabatan-jabatan di bawah
Kementerian Perhubungan.
Strategi-strategi yang digubal itu tidak akan mudah
dicapai tanpa adanya komitment, kerjasama, sumbangan serta sokongan padu
dari semua pegawai dan kakitangan samada diperingkat Kementerian mahupun
Jabatan-jabatan di bawah Kementerian ini.
Dalam membantu pencapaian misi berkenaan, Ketua-ketua
Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan hendaklah memastikan kelancaran
projek-projek yang dilaksanakan menurut masa yang ditetapkan dengan
memantau kemajuan projek-projek berkenaan dari masa ke semaa, dan
mengambil langkah-langkah penyelesaian terhadap sebarang masalah yang
timbul mengenainya tanpa berlengah-lengah. Sasaran jangka sederhana
apatah lagi jangka panjang tidak akan dapat dicapai sekiranya
perlaksanaan projek dibiarkan terjejas dan tahap perkhidmatan dan
kemampuan (capacity) tidak dapat dipertingkatkan dari masa ke
semasa.
Saya gembira sudah terdapat langkah yang dibuat bagi
memantau pencapaian usaha yang dibuat oleh setiap Jabatan. Akan tetapi
masih terdapat ruang bagi pembaikan yang dapat diusahakan. Diantaranya
ialah penggunaan petunjuk (indicator) yang bertepatan bagi mengukur
sasaran, dan membuat penyesuaian (adjustment) sekiranya sasaran yang
ditetapkan tidak dapat dicapai. Disamping itu, usaha untuk mensejajarkan
keperluan kerja yang melibatkan pelbagai pihak juga dibuat bagi
memastikan kejayaan program atau projek yang dirancang dengan dokongan
semua pihak yang terlibat.
Dalam tempuh satu bulan lagi, kita akan melangkah ke
tahun 2006. Sehubungan ini, saya ingin meminta semua Ketua-ketua jabatan
untuk membuat penilaian atau stock-taking mengenai pelaksanaan
rancangan-rancangan serta tanggung jawab jabatan masing-masing bagi
mengetahui jumlah pencapaian, mengenalpasti sebab-sebab atau
masaalah-masaalah yang menggangu kelancaran pencapaian dan cara-cara
untuk mengatasinya. Demikian juga dalam tempuh dari sekrang sehingga
menjelang tahun 2006, jabatan-jabatan adalah di minta untuk menyediakan
rancangan-rancangan yang akan dilaksanakan bagi tahun 2006 dengan
menentukan sasaran-sasaran yang akan di capai. Perkara ini adalah
mustahak untuk menjadi strategi jabatan dalam mencapai matalamat jangka
panjangnya.
Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin
mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi terima
kasih dan tahniah kepada Pengerusi dan Jawatankuasa Pengelola Majlis di
atas kejayaan menganjurkan majlis ini. Saya tidak lupa juga merakamkan
ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan pegawai-pegawai
dan kakitangan yang bersara di atas sumbangan bakti mereka yang telah
mereka hulurkan semasa menjalankan tugas dan tanggung jawab di
Kementerian ini. Semoga Allah SWT akan menerima khidmat bakti biskita
sebagai amal kebajikan jua. Kita mendoakan semoga biskita akan dapat
menempuhi penghidupan yang lebih baik dan sehat walafiat.
Sekian
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Assalamu alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.