Majlis Pelancaran Buku
Pelan Strategik 2008 - 2017
TEKS UCAPAN
Hari Isnin, 22 Rabiulakhir 1429 bersamaan 28
April 2008
Assalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat sejahtera.
Yang Mulia Haji Awang Alaihuddin bin
Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha,
Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, selaku Pengerusi Majlis,
Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri, Tuan-Tuan Yang Terutama
Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Besar,
Yang Mulia Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap dan Timbalan - Timbalan Setiausaha
Tetap.
Kita bersyukur ke hadrat Allah
Subahanahu Wataala kerana dengan Izin dan Rahmat Nya jua, Kementerian
Perhubungan telah berjaya menyediakan Buku Pelan Strategik 2008-2017 yang
merupakan kesinambungan kepada Peta Jalan 2004-2024 (Road Map 2024).
Pelan Strategik 2008-2017 ini adalah
penelitian semula visi, misi dan strategi Kementerian Perhubungan yang
termuat dalam Peta Jalan 2024 (Road Map 2024) dan menyelaraskannya dengan
perkembangan, perubahan dan cabaran-cabaran baru khasnya dalam industri
perhubungan dan pengangkutan pada masa ini.
Ia merupakan satu usaha dan pendekatan
untuk merealisasi dan mentafsirkan aspirasi Peta Jalan 2024 serta Wawasan
Brunei 2035 menjadi perancangan jangka pendek dan sederhana dengan
memfokas kepada sasaran-sasaran yang boleh dicapai dan tangibles dalam
tempoh lima hingga ke sepuloh tahun akan datang.
Buku pelan strategik ini dengan jelas
menggambarkan kerjasama dan komitmen warga Kementerian Perhubungan dan
Jabatan-Jabatan dibawahnya dalam merangka rancangan bagi menuju masa depan
Kementerian ini. Tahniah kepada semua yang terlibat diatas iltizam,
keazaman dan semangat serta usaha berterusan bagi merealisasikan visi dan
misi Kementerian Perhubungan dan Negara Brunei Darussalam menjadi satu
kenyataan.
Impak perubahan dan peredaran teknologi
Hadirin dan hadirat sekalian,
Menerusi Pelan Strategik ini, kita
berusaha menggarap pemikiran untuk memandang jauh, menjangkau dan meramal
akan perkembangan dan perubahan industri perhubungan dan pengangkutan
khasnya di rantau ini dan mensejajarkannya dengan peranan dan tanggung
jawab Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan dibawahnya.
Saya percaya dengan penelitian semula
visi, misi, objektif, dan strategi ini, Kementerian Perhubungan akan dapat pula meneliti
dasar-dasarnya supaya sentiasa relevan dan mampu memberikan kita
persediaan dalam menangani cabaran-cabaran dan perubahan-perubahan yang
dijangkakan dan tidak dijangkakan.
Usaha untuk memenuhi keperluan dan
peranan ini, sememangnya bukanlah mudah. Akan tetapi, dengan adanya
sokongan dan kerjasama yang padu di semua peringkat, usaha ke arah ini,
Insya Allah akan dapat membuahkan hasilnya.
Dalam konteks inilah Pelan Strategik
yang dilancarkan pada hari ini akan dapat memainkan peranannya sebagai
panduan dan rujukan bagi penelitian sesuatu dasar bagi mencapai misi
Kementerian ini. Salah satu daripada usaha tersebut ialah bagi
meningkatkan lagi tahap dayasaing Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah
ekonomi yang mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Kearah ini adalah penting untuk kita menyediakan
prasarana dan meningkatkan kualiti perkhidmatan perhubungan dan
pengangkutan yang diperlukan selaras dengan tahap piawaian serantau dan
antarabangsa bagi membantu membuka laluan kepada pengusaha-pengusaha
mengeksploitasi peluang-peluang dalam industri perhubungan dan
pengangkutan.
Masyarakat Bermaklumat
Dalam bidang perhubungan adalah menjadi
visi Negara Brunei Darussalam sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam untuk melahirkan masyarakat bermaklumat atau information
society iaitu masyarakat yang bukan sahaja dapat menggunakan maklumat
tetapi dapat memanfaatkan maklumat sebagai sumber ekonomi selaras
dengan perkembangan ekonomi yang berasaskan kepada ilmu pengetahuan atau
knowledge economy.
Kunci kepada usaha melahirkan masyarakat
bermaklumat bergantung besar kepada keupayaan anggota masyarakat untuk
berubah. Sungguhpun kadar penetrasi fixed-line ke rumah-rumah adalah
hampir 100% akan tetapi kadar peratus pengguna Internet bagi setiap 100
orang adalah pada tahap 46.6%. Usaha-usaha Kerajaan menerusi rancangan
e-Kerajaan untuk menyediakan berbagai perkhidmatan on-line bagi memudahkan
serta memperkesankan pengurusan perkhidmatan Kerajaan hanya akan dapat
berjaya terlaksana jika semua pihak yang terlibat, yakni, tenaga manusia
dalam Kerajaan dan pengguna iaitu semua lapisan masyarakat, mempunyai
kemahiran atau celik ICT.
Dalam hubungan ini, kita semua
bertanggungjawab dalam melaksanakan usaha bagi memastikan bahawa
investment dalam projek-projek ini akan berbaloi dengan menyediakan tenaga
manusia yang dapat memanfaatkannya.
Berkaitan dengan ini Pihak Berkuasa
Industri Teknologi Info-Komunikas (AiTi) sejak tahun 2007 telah
melaksanakan InfoCom Competency Training Programme dalam usaha membantu
meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja ICT tempatan baik di sektor swasta
maupun di sektor kerajaan untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Ke arah ini, AiTi akan menghulurkan kos latihan di antara 50-80% di
agensi-agensi latihan yang dikenal pasti. Program ini adalah satu daripada visi
AiTi untuk menyediakan Negara
Brunei Darussalam dengan industri ICT yang dinamik, inovatif dan vibrant
selaras dengan keperluan negara.
Dalam masa yang sama kita menghargai dan
mengalu-alukan akan penglibatan sektor swasta dan agensi-agensi lain dalam
sama-sama memaju dan meningkatkan kapasiti tenaga manusia dalam bidang
ICT.
Kita menyaksikan di kalangan
negara-negara di rantau ini atau dirantau Asia-Pasifik akan co-relation
diantara peningkatan prasarana info-komunikasi dengan peningkatan ekonomi
yang menunjukkan perkaitan yang positif.
Sehubungan ini pasarana bagi membantu
perkembangan info-komunikasi akan dipertingkatkan dan diperluaskan
termasuk pelan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan jalur lebar atau
broadband. Begitu juga dengan terlaksananya Projek Kabel Dasar Laut
Asia-America Gateway (AAG) iaitu sistem kabel dasar laut selain daripada
sistem SEA-ME-WE-3 yang ada pada masa ini, akan
meningkatkan lagi kapasiti bandwidth dan keupayaan laluan trafik keluar
negara.
Kita berharap prasarana yang tersedia
dan akan dimajukan ini akan dapat menjana perkembangan dan kemajuan
ekonomi dipelbagai sektor SME dan agensi-agensi swasta dan Kerajaan malah
dapat menarik Foreign Direct Investment (FDI).
Perkembangan industri pengangkutan
Perkembangan industri perhubungan baik
laut, darat mahupun udara bagi menjana pertumbuhan ekonomi tidak dapat
dinafikan. Asia Pasifik adalah rantau yang pada masa ini berkembang dan
terus meraih potensi untuk berkembang dimasa akan datang.
Alhamdulillah pada tahun 2007, ahli-ahli
BIMP-EAGA telah mencapai persetujuan bagi liberalisasi penerbangan, dan telah juga mencapai persetujuan
mengembangkan bidang pengangkutan darat dan laut.
Sehubungan ini, Kerajaan Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam telahpun memberikan kebenaran kepada syarikat
penerbangan daripada ahli-ahli BIMP-EAGA untuk beroperasi ke Negara Brunei
Darussalam seperti Cebu Air dari Filipina dan Batavia Air dari Pontianak,
Indonesia.
Kita berharap untuk mengorak langkah
dengan segera bagi merealisasikan perkhidmatan darat dan laut. Ini
diharap akan membuka ruang dan peluang bagi penglibatan sektor swasta
menerokainya dan membantu pula menjana sektor-sektor lain yang
berhubungkait dengan pelancungan.
Sokongan kepada SMEs
Hadirin dan hadirat sekalian
Menyedari akan peranan sebahagian dari
jabatan-jabatannya sebagai pemudahcara atau regulator bagi
perkhidmatan-perkhidmatan tertentu, maka menerusi Pelan Strategik ini usaha sedang dipergiatkan bagi meneliti kemungkinan dapat
melaksanakan agenda pengkorporatan beberapa perkhidmatan - perkhidmatan
yang diberikan oleh jabatan-jabatan di bawah Kementerian Perhubungan.
Langkah ini diharapkan akan membolehkan
Jabatan-jabatan berkenaan menumpukan tanggungjawabnya kepada core-business
sementara perkhidmatan-perkhidmatan akan dapat dilaksanakan oleh sektor
swasta.
Demikian juga Pelan Strategik ini
menyediakan inisiatif untuk meneroka penyertaan pihak swasta dalam perlaksanaan sesuatu rancangan
menerusi konsep Perkongsian
Swasta-Awam (Public-Private Partnership). Modality atau pendekatan ini
diharapkan akan dapat mengurangkan
birokrasi atau red tape dan dapat pula meningkatkan produktiviti
menerusi prosedur yang telus, cepat, mudah dan memuaskan.
Saranan kepada Warga Kementerian Perhubungan
Hadirin dan hadirat sekalian,
Untuk mencapai apa yang dihasratkan
didalam Pelan Strategik Kementerian Perhubungan, kita memerlukan sumber
modal insan yang sentiasa dapat mempertingkatkan keupayaan, kemahiran dan pengetahuan untuk memastikan bahawa kita sentiasa bersedia
menghadapi segala perubahan yang ada.
Pertama adalah perlunya tumpuan khusus
untuk diberikan pada perkembangan sumber tenaga manusia (human resource
development) yang efisien, berkemahiran dan competent. Saya
menyedari kita menghadapi kekurangan, khususnya didalam pakar-pakar
tempatan didalam bidang-bidang teknikal dan operational. Perkara ini
turut digariskan didalam Pelan Strategik ini dan saya juga percaya ini
menghendaki langkah-langkah dan inisiatif untuk meningkatkannya.
Kedua ialah pentingnya perubahan minda dan pendekatan untuk mencapai
produktiviti dan efisiensi didalam menjalankan tugas dan tanggungjawab
masing-masing. Pengkorporatan, misalnya, seharusnya bertindak sebagai
catalyst bagi perubahan dan menjelmakan satu entiti korporat, yang
menekankan kepada survival dan sustainability, menggalakkan
innovasi dan kreativiti serta mewujudkan budaya kerja berteraskan
perniagaan, mampu bersaing dan berorientasikan mesra pelanggan.
Ketiga, kejayaan Pelan Strategik adalah bergantung kepada kepimpinan atau
leadership, yang bukan sahaja bertindak menerajui jabatannya tetapi
berkeupayaan dan berwibawa menterjemahkan dasar menjadi objektif dan
langkah-langkah dan disalurkan kepada kakitangan dengan jelas bagi
menjelmakan pelan operasi (plan operations). Dalam masa yang sama,
seperti seorang kapten kapal, pemimpin akan sentiasa berwaspada untuk
bertindak dan membuat respon serta menyelaraskan strateginya bila
berhadapan dengan sebarang perubahan dan cabaran baik dari luar mahupun
dari dalam.
Kearah usaha ini, saya penuh berharap agar Buku Pelan Strategik 2008-2017
ini tidak sahaja disimpan sebagai penghias almari, akan tetapi diteliti
dan difahami sebagai
garispandu dan rujukan pada setiap masa. Buku Pelan Strategik ini juga diharap akan menjadi landasan
bagi titik bermulanya peningkatan, pembaikan dan inovasi yang berterusan kearah
mendokong wawasan Brunei 2035.
Usaha-usaha bagi memberigakan buku pelan
strategik ini dengan mengadakan road
show sebagaimana dinyatakan oleh Pengerusi Majlis dan sebagainya
perlulah dilaksanakan secara berterusan untuk menjana pemahaman yang lebih
mendalam bagi memastikan pelaksanaan yang lancar. Saya menaruh harapan diperingkat
jabatan pula, usaha-usaha ke arah menjelmakan pelan strategik ini melalui
penyediaan business plan atau
operation plan masing-masing akan dapat dilaksanakan dengan penuh
komited dan kesungguhan.
Akhirnya menerusi kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan yang menjadi tulang
belakang dan penggerak kepada penyediaan Buku Pelan Strategik 2008-2017
ini.
Saya juga ingin merekodkan
ucapan terima kasih kepada tenaga akademik Universiti Brunei Darussalam
diatas kerjasama, bantuan dan nasihat yang diberikan. Usaha yang
dilaburkan bukannya sedikit, dan Kementerian Perhubungan sangat-sangat
menghargai sumbangan, kerjasama serta usaha yang diberikan. Semoga Allah
Subhanahu Wataala akan memberkatinya.
Sekian Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.