TEKS UCAPAN
Majlis Pemindahan Akta
Penyiaran (Penggal 180) dari Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian
Perhubungan
Hari Rabu, 15 Jamadilawal 1429 bersamaan 21
Mei 2008
BISMILLAHIR RAHMAN NIR RAHIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
Yang Berhormat
Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang
Abu Bakar bin Haji Apong
Menteri Perhubungan, Kementerian Perhubungan.
Yang Berhormat
Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji
Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar
Menteri Tenaga, Jabatan Perdana Menteri.
Yang Mulia
Pengiran Dato Paduka Haji Ismail bin Pengiran Haji Mohamed,
Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri.
Pengarah-Pengarah, pegawai-pegawai serta para hadirin
hadirat sekalian.
Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala,
serta selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad
Sallallahu Alaihi Wasallam, maka dengan limpah dan kurnia-Nya jua, telah
membolehkan kita bersama-sama berkumpul pada hari ini, di Majlis
Pemindahan Akta Penyiaran (Penggal 180) dari Jabatan Perdana Menteri ke
Kementerian Perhubungan.
Alhamdulillah, apa yang kita sama-sama saksikan pada
pagi ini ialah satu majlis kemuncak dari siri perbincangan dan prosis
konsultasi yang dibuat sejak beberapa bulan yang lalu olih pihak
Kementerian Perhubungan dengan Jabatan Perdana Menteri.
Pemindahan ini menandakan satu detik perkembangan
positif dalam jentera pentadbiran Kerajaan yang berusaha meningkatkan
perkhidmatan yang berkesan kepada orang ramai iaitu dengan ada nya satu
pemindahan kawalselia Akta Penyiaran (penggal 180), dari Jabatan Perdana
Menteri Ke Kementerian Perhubungan pada pagi hari ini. Sebelum ini,
seperti dimaklumi penguatkuasaan Akta Penyiaran adalah di bawah Jabatan
Perdana Menteri, sementara hal ehwal berkaitan dengan kawalselia teknologi
maklumat atau ICT yang kian berkembang luas dan bergabung (converge)
antara satu dengan lain adalah di bawah bidang kuasa Kementerian
Perhubungan. Ini bermakna dengan berkuatkuasa nya pemindahan ini orang
ramai hanya perlu berurusan dengan satu pihak berkuasa sahaja.
Antara tujuan pemindahan Akta Penyiaran ini
dilaksanakan adalah bagi menuju ke arah pengawalselian peraturan penyiaran
dan komunikasi secara menyeluruh, dengan dasar dan keputusan yang lebih
sejajar disamping memperkemaskan serta memperkembangkan industri penyiaran
dan juga multimedia di Negara Brunei Darussalam ketahap yang membanggakan.
Prospek bagi memajukan industri multimedia dinegara ini
dimana penyiaran (broadcasting) adalah merupakan salah satu aspek yang
penting memang tidak dinafikan. Bahkan dunia multimedia ketika ini
menyaksikan perkembangan dan pengabungan (convergence) teknolgi yang cepat
lagi canggih dan disalurkan atau disiarkan dengan berbagai cara atau
medium termasuk internet dan sebagainya. Pasaran dan permintaannya juga
tidak terbatas dan ianya termasuk Pasaran dalam industri Hiburan
(Entertainment), Hasil Keluaran (End Products), Penyedia Kandungan
(Content Providers) dan sebagainya.
Secara tradisional ia hanya melibatkan Audio dan Video
melalui Radio, Televisyen dan wayang gambar serta Media Cetak dan
Iklan-Iklan. Walau bagaimanapun, perkembangan Telekomunikasi dan Teknologi
Informasi telah membolehkan penggabungan atau ‘convergence’
bagi semua media-media ini yang sekaligus menyebabkan ledakan pasaran dan
industri. Pasaran tradisional yang dulunya berbentuk penonton dan
pendengar awam ataupun peribadi, kini sudah melibatkan atau melarat ke
pasaran-pasaran industri yang multi-dimensional dan ini termasuk bidang
pendidikan, kesihatan, perdagangan, pengurusan, pentadbiran dan lain-lain.
Perkembangan-perkembangan ini sudah tentunya akan
memberikan cabaran baru kepada mana-mana negara untuk mempastikan ia
berkembang dan bersaing dalam keadaan yang sihat dan sesuai dengan visi
dan misi masing-masing negara. Antara langkah-langkah yang perlu diambil
ialah untuk sentiasa mengemaskinikan bukan sahaja Akta-Akta atau
Peraturan-Peraturan tetapi juga mekanisma bagi perlaksanaan Akta atau
Peraturan berkenaan.
Ke arah ini tiga aspek penting perlu diberi perhatian
iaitu kesaksamaan atau ‘equity’ dalam menikmati perkembangan
ini, pemantauan bagi mempastikan perkembangan berjalan dengan sihat, serta
pengembangan untuk mempastikan ia akan dapat berkembang sebagai satu
industri di sektor ekonomi negara ini seperti juga industri-industri
lainnya.
Matlamat kita ialah untuk membolehkan negara ini
menggunakan teknologi maklumat termasuk multi-media bagi mendapatkan
keutamaan kompetitif atau competitive advantage melalui
penyelarasan antara teknologi dan prosis serta model penggunaan di sektor
awam, perniagaan atau swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan
orang ramai.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, peramba/kaola/saya bagi
pihak Kementerian Perhubungan ingin merakamkan terima kasih dan setinggi
tinggi penghargaan atas kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak
khususnya daripada Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Penguam Negara bagi
melaksanakan prosis peralehan dengan baik dan jayanya. Peramba/kaola/saya
berharap dengan adanya pemindahan Akta Penyiaran (Penggal 180), ianya akan
menguatkan lagi usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam
memastikan kawalselia dan penguatkuasaan Akta tersebut akan terus berjalan
dengan lebih lancar, teratur dan efektif. Semoga usaha-usaha ini akan
mendapat berkat dan ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala
jua dan semoga kita semua beroleh manfaat daripada-Nya.
Sekian,
Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
|