Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad
Sallallahu 'Alaihi Wasallam bagi Daerah Tutong
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLHI WABARAKTUH
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu
'Ala Asyrafil Anbiyahe Walmursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa
Aalihiee Wasahbihee Ajma'een.
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan Seru
Sekelian Alam, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi
Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan
pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Yang Mulia, Awang Abd Mutalib bin Haji Md. Idris,
Pegawai Daerah Tutong
Yang Mulia, Awang Haji Zaidin bin Haji Ibrahim,
Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong
selaku Pengerusi Bersama,
Majlis Sambutan Maulud Nabi
Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
bagi tahun 1427 Hijrah bersamaan
2006 Masehi bagi Daerah Tutong
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara
Yang Mulia, Awang Haji Muhammad bin Garing,
Wakil daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara
Brunei Darussalam
Yang Mulia Pengiran-Pengiran
Yang Dimuliakan Pehin-Pehin
Yang Mulia Dato-Dato, Orang Kaya-Orang Kaya
Para Jemputan Khas
hadirin serta hadirat yang dihormati sekalian
Alhamdulillah, pagi ini kita sekali lagi dapat
berkumpul untuk memperingati dan menyemerakan hari kelahiran junjungan
besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Tradisi ini memang
telah lama kita lakukan sebagai tanda rasa kasih dan sayang kita kepada
Baginda yang telah banyak berjasa kepada kehidupan manusia sejagat. Untuk
itu, kita pada setiap tahun tidak pernah terlepas daripada membesarkan dan
mengagungkan hari kelahiran Baginda semata-mata bagi mengenang jasa dan
pengorbanan Baginda yang tiada bandingnya.
Sesungguhnya kemuliaan akhlak dan ketinggian peribadi
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam menerajui ugama Islam telah
menjadikan Baginda sebagai lambang kemegahan umat Islam yang terdahulu dan
masa kini dan Baginda merupakan contoh ikutan terbaik sepanjang zaman bagi
sekelian umat Islam untuk mencapai kesempurnaan hidup bermasyarakat dan
bernegara. Bahkan kelahiran Baginda merupakan satu rahmat besar kepada
seluruh umat manusia dengan bimbingan hidayah dan petunjuk Allah yang
membawa kepada kedamaian, ketenteraman dan ketenangan.
Akhlak yang sempurna adalah akhlak Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Akhlak yang Baginda miliki merangkumi
berbagai aspek dalam kehidupan. Bermula dari rumah, Baginda sebagai suami
dan ayah sehinggalah di luar rumah sebagai sahabat dan pemimpin, Baginda
mempunyai akhlak yang tiada bandingnya, dan oleh kerana itulah
sewajarnyalah kita selaku umat Baginda mencontohi akhlak peribadi dan budi
pekerti Baginda di dalam kehidupan seharian kita.
Adalah tidak diragukan bahawa akhlak, budi pekerti yang
mulia dan moral yang tinggi itu menjadi kriteria bangsa yang maju dalam
pembangunan bangsa dan negara. Kerana daripada sifat-sifat tersebut, akan
lahir disiplin diri yang berkualiti tinggi dalam menanai tugas dan
tanggungjawab terhadap diri, masyarakat, bangsa dan negara.
Disiplin yang tinggi akan melahirkan daya saing yang
sihat untuk menghasilkan produktiviti, kemajuan dan kesejahteraan bagi
sesuatu bangsa dan negara. Sebaliknya, nilai atau kualiti moral dan
disiplin yang rendah boleh melemahkan masyarakat, bangsa dan negara. Jika
nilai moral masyarakat dan bangsa sudah lemah, maka perpaduan dan kekuatan
di dalam keluarga, masyarakat, bangsa dan negara akan turut menjadi lemah.
Apabila keadaan sudah menjadi lemah dan kucar-kacir, pengaruh-pengaruh
negatif akan mudah masuk di tengah-tengah ruang kelemahan itu dan apa yang
lebih membimbangkan lagi ialah maruah, moral dan nilai-nilai murni bangsa
akan turut tergadai.
Dari itu, kita sebagai umat Islam mestilah kembali
kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
dengan menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita
kerana di sanalah terletaknya kekuatan dan jaminan jati diri umat Islam.
Oleh itu, komitmen akhlak bukan hanya sekadar gambaran
citra diri tentang kebaikan, sopan-santun dan adab tetapi apa yang lebih
dituntut ialah maksud akhlak dalam melaksanakan tanggungjawab membina
bangsa dan umat ke arah perubahan, kemajuan dan peradaban yang lebih
bermakna.
Maka bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada hari ini sama-samalah kita
menyemarakkan sambutan hari kelahiran Baginda dengan membanyakkan selawat
dan salam, menanamkan semangat cinta dan kasih sayang terhadap Baginda,
memperbaiki akhlak dan kehidupan kita ke arah yang lebih sempurna, jujur
serta amanah bagi mendapatkan keredaan Allah Subhanahu Wataala jua.
Semoga Majlis Perhimpunan Maulud Nabi Muhammad
Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ini akan dapat meningkatkan lagi akidah,
kepercayaan dan keimanan umat Islam di negara ini dalam kehidupan
beragama, memberikan kekuatan dan membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan
serta kerukunan hidup dalam bermasyarakat dan bernegara. Amin Ya Rabbal
‘Alamin.
Wabilah hi taufik wal hidayah wassalam mualaikum warah
matullah hi wabarakatuh.