The Government of Brunei Darussalam
            

Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Peringkat Kementerian 1427H / 2006M

TEKS UCAPAN 

Hari Selasa, 29 Syawal 1427 bersamaan 21 November 2006
Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas

 

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLHI WABARAKTUH

BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM.

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Anbiyahe Walmursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een.

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan Seru Sekelian Alam, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Yang Mulia Awang Haji Ibrahim bin Haji Mohd Ali,
Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan selaku Pengerusi Majlis,

Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap,
Timbalan Setiausaha-Setiausaha Tetap;
Ketua-ketua Jabatan;
Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan;

Para peserta Musabaqah Tilawatil Quran;

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan keizinan dan limpah rahmatNya jua, kita semua dapat hadir di Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Peringkat Kementerian kali ke-10 bagi tahun 1427 Hijrah bersamaan 2006 Masehi, kelolaan Kementerian Perhubungan.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam mengungkayahkan majlis yang berkebajikan ini.

Ucapan terima kasih juga di atas ingatan baik mengundang dan memberikan penghormatan kepada saya untuk hadir sama selaku tetamu kehormat.

Majlis seumpama ini memberikan kesempatan kita untuk sama-sama mendengarkan dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran kerana Kitab Suci itu mengandungi ajaran-ajaran dan petunjuk yang lengkap ke arah kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat.

Selaku pegawai dan kakitangan kerajaan, kita telah disyorkan untuk sama-sama mengamalkan membaca Al-Qur'an sebelum memulakan tugas harian serta menjadikannya sebagai satu amalan dan budaya seharian kita.

Dengan membaca dan menghayati Al-Qur'an itu, kita memohon diberi keberkatan, ketenangan jiwa dan hidayah dari Allah Subhanahu Wata'ala serta memberikan syafaat kepada pembaca-pembacanya.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Alhamdulillah, pegawai dan kakitangan kerajaan pada hari ini telah mengecapi kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai aspek kehidupan, dimana masyarakat dunia hari ini sentiasa berlumba-lumba mencari maklumat-maklumat baru serta penemuan-penemuan terikini dalam pelbagai bidang.

Disamping itu, kita sebagai rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam pula sangat bertuah dan bersyukur diatas keprihatinan dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Baginda adalah seorang raja dan pemimpin negara yang menjunjung tinggi kesucian dan memuliakan Al-Quran. Baginda sentiasa menekankan agar kita rakyat Negara Brunei Darussalam, untuk mempunyai kesungguhan, keazaman dan kegigihan agar sentiasa berkembang maju dalam pelbagai aspek kehidupan kita.

Baginda mahu melihat rakyat yang dikasihi baginda untuk memiliki taraf dan cara hidup yang lebih baik, progresif dan berdaya saing, bersandarkan kepada dua elemen penting iaitu ilmu pengetahuan dan penghayatan ajaran Islam. Perkara ini juga bertepatan dengan Tema Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1427 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam iaitu "Menghayati Islam Didalam Mempertingkatkan Daya Saing Bangsa".

Di doakan semoga kehadiran kita semua dapat meningkatkan akidah dan keimanan dalam kehidupan beragama dan kita semua diberikan kekuatan dan kerukunan hidup dalam bermasyarakat dan bernegara.

Untuk akhirnya, izinkan saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang terlibat mengungkayahkan Majlis Musabaqah Tilawatil Quran tahun ini. Semoga usaha yang berkebajikan ini akan berterusan dan mendapat ganjaran setimpal dari Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian terima kasih.

Wabilah hi taufik wal hidayah wassalam mualaikum warah matullah hi wabarakatuh.


|| Sejarah, Visi & Misi | Tanggungjawab & Fungsi | Carta Organisasi | Jabatan-Jabatan | SHuTT | Masyarakat Bermaklumat | Maklum Balas | Kontak ||
|| BIT Council | AiTi | BICTA ||

|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||