The Government of Brunei Darussalam
            

Majlis Pertandingan Akhir Inforama 2005

BISMILLAHIR RAHMAN NIR RAHIM

Alhamdullilahi Rabbil ‘Alamin, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Sayiddina Muhammadin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajmaien.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Mulia, Awang Haji Kassim bin Haji Mohd Yassin, Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina `Othman, Tutong selaku Pengerusi INFORAMA 2005.

Yang Mulia Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Pengarah-pengarah, Pegawai-pegawai Kanan, Pengetua-pengetua dan Guru-guru Besar sekolah, para peserta pertandingan akhir INFORAMA 2005 dan hadirin serta hadirat yang dihormati sekalian.

Terlebih dulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa INFORAMA 2005, di atas undangan selaku tetamu kehormat ke majlis ini.

Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian,

Saya percaya dalam tempoh 10 tahun sejak projek ini diungkayahkan, banyak pencapaian yang dihasilkan, terutama dalam memberikan pendedahan, membudayakan dan meningkatkan kemahiran penggunaan ICT di kalangan pelajar-pelajar khususnya dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat institusi tinggi.

Revolusi digital dan keupayaan teknologi ICT berupaya meningkatkan daya kreativiti dan inovasi bagi melahirkan produk dan perkhidmatan yang boleh menjadi penyelesai dan pemudah kepada aktiviti-aktiviti mewujudkan masyarakat bermaklumat.

Kita sedia maklum, mewujudkan masyarakat bermaklumat telah menjadi agenda penting dalam membantu pembangunan ekonomi serta peningkatan taraf hidup disebabkan peluang-peluang baru dalam pelbagai urusan dan aktiviti kehidupan masyarakat itu sendiri.

Aktiviti-aktiviti dan program-program INFORAMA nampaknya telah memberikan peluang-peluang bagi generasi-generasi muda kita untuk menambahkan minat dan mengasuh bakat-bakat mereka dalam menggunakan teknologi ICT.

Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian,

Content Development’ adalah juga merupakan faktor penting dalam pembangunan e-kerajaan, e-perniagaan dan e-masyarakat, termasuklah e-pendidikan kebangsaan.

Di negara-negara luar, industri ‘content’ bagi pendidikan, penyiaran, muzik, dan permainan komputer adalah merupakan bidang-bidang aplikasi yang mempunyai potensi tinggi kerana peminat-peminat atau pengemar-pengemar golongan muda, yang merupakan kelompok pengguna ICT yang tinggi.

Malahan Industri ‘content’ seumpama ini telah menjadi pendorong kepada pertumbuhan industri pembuatan ‘software’ dan e-bisnes.

Keadaan ini memberikan kita cabaran untuk mempunyai tenaga pekerja ICT yang mahir dan berbakat.

Saya rasa, strategi utama kita haruslah menyediakan langkah-langkah meningkatkan capacity building bagi sumber tenaga melalui pendidikan dan latihan.

Dengan cara ini, saya berharap keperluan-keperluan industri terutama penyediaan ‘educational content’ akan lebih berasaskan kepada ‘in-house development’ dan dipelopori sendiri oleh orang-orang kitani terutama pengusaha-pengusaha tempatan.

Sehubungan dengan ini, usaha-usaha pihak Kementerian Pendidikan dalam memberi pengetahuan serta pendedahan yang secukupnya kepada pelajar-pelajar dalam pengunaan ICT amatlah relevan dan perlu mendapat sokongan dari semua pihak.

Saya berharap usaha-usaha pihak lain seperti pembangunan pusat-pusat inovasi, penyelidikan dan perkembangan serta pertandingan-pertandingan peringkat nasional dan antarabangsa seperti Anugerah Brunei ICT atau BICTA dan Aungerah ICT Asia-Pasifik yakni APICTA akan dapat meningkatkan lagi kualiti dan daya kreativiti orang-orang kitani.

Perkara ini memang berhubung rapat kerana kita tidak mahu hasil pertandingan hanya tinggal dalam pertandingan atau tontonan di pameran sahaja, tetapi ianya harus ada tindakan susulan dan usaha-usaha untuk sama-sama memperkembangkan lagi hasil-hasil daripada inisiatif-inisiatif seperti INFORAMA ini.

Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada peserta-peserta yang telah berjaya dalam INFORAMA 2005. Kepada mereka yang kurang berjaya, saya berharap semoga mereka-mereka tidak akan kecewa akan tetapi bangkit dengan semangat dan usaha yang lebih gigih lagi. Jadikanlah penyertaan ini sebagai satu pengajaran yang berguna kepada abiskita semua mencapai kecemerlangan di masa hadapan.

Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga ditujukan kepada Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn. Bhd. di atas sokongan yang diberikan dengan memberikan tajaan berbentuk kewangan sejak projek INFORAMA ini diperkenalkan. Adalah diharapkan ada lagi syarikat-syarikat swasta yang lain yang muncul untuk memberikan sokongan dalam projek-projek seumpama ini.

Semoga usaha-usaha kebajikan ini akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala dan semoga kita semua beroleh manfa’at daripadanya.

Sekian,

Wabillahi Taufik Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarkatuh.


|| Sejarah, Visi & Misi | Tanggungjawab & Fungsi | Carta Organisasi | Jabatan-Jabatan | SHuTT | Masyarakat Bermaklumat | Maklum Balas | Kontak ||
|| BIT Council | AiTi | BICTA ||

|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||